PETALING JAYA: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka sebanyak 25 mata asas pada 3 November ini, dilihat tidak membebankan pembeli dan memberi kesan kepada tempahan kereta, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, bayaran pinjaman bulanan kereta akan meningkat sedikit sahaja.
“Sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia, OPR telah naik sehingga 3.0 peratus. OPR sekarang adalah 2.5 peratus jadi, kenaikan pembayaran hanya akan meningkat sedikit sahaja dan tidak akan begitu membebankan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujarnya, jualan kereta buat masa ini juga masih laris kerana banyak tempahan yang dibawa ke hadapan dari Jun lalu berikutan insentif pengecualian cukai jualan.
“Namun, beberapa jenama terutamanya jenama dari Eropah masih menghadapi masalah kekurangan cip dan penerimaan model pemasangan tempatan (CKD).
“Perbincangan dengan pembekal cip yang lain dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut. Pemegang francais CKD perlu berunding dengan pengeluar peralatan asli mereka untuk mendapat lebih pengeluaran daripada mereka,” katanya.
Jawatankuasa Dasar Monitari Bank Negara Malaysia (BNM) dijadual mengumumkan kadar baharu OPR pada mesyuaratnya 3 November ini.
Pada mesyuarat 8 September lalu, jawatankuasa itu membuat keputusan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus. Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.
Pada September lalu, jualan kenderaan di Malaysia meningkat kepada 67,659 unit pada berbanding 44,227 unit pada bulan sama tahun lalu.
MAA berkata, jualan kenderaan penumpang melonjak hampir separuh kepada 60,060 unit pada September 2022 daripada 38,258 unit pada September 2021, manakala jualan kenderaan komersial naik kepada 7,599 unit daripada 5,969 unit.
Tambah MAA, jualan pada Oktober 2022 dijangka untuk kekal sama seperti tahap bulan September 2022.
“Masalah bekalan dan cip pula masih berterusan dan akan menjejaskan beberapa pengeluaran,” katanya. – UTUSAN










