PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijangka membantu menambah kerancakan kegiatan ekonomi pada suku terakhir tahun ini yang diunjurkan terus berkembang lebih lapan peratus berbanding 14.2 peratus pada suku ketiga.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ia terutamanya dalam sektor pengangkutan, perhotelan serta makanan dan minuman.
Katanya, ini berdasarkan kepada trend berkempen dan orang ramai yang akan pulang ke kampung masing-masing untuk mengundi.
“Ekonomi domestik dijangka akan terus menjadi enjin ekonomi negara berdasarkan peningkatan permintaan pengguna Malaysia. Sektor pelancongan dan perkhidmatan terus mencatatkan pertumbuhan positif, yang mana peningkatan jumlah pelancong asing setiap bulan.
“Jadi untuk unjuran bagi suku keempat mungkin berada di atas lapan peratus berdasarkan momentum semasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, beliau berkata, Kadar Dasar Semalaman (OPR) sedikit sebanyak menjejaskan pemulihan ekonomi negara berikutan banyak perniagaan yang mahu mengurangkan risiko mengambil pinjaman bank untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.
Menurutnya, desas-desus kemelesetan ekonomi dunia juga menyebabkan syarikat multinasional antarabangsa (MNC) sedikit berhati-hati dalam mengembangkan operasi mereka.
“Kadar faedah yang tinggi serta kekuatan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) menyebabkan banyak produk keluaran MNC AS menjadi tidak kompetitif untuk bersaing dengan produk negara lain yang lebih murah.
“Justeru, sektor pembuatan dijangka akan sedikit perlahan apabila permintaan dari luar negara berkurangan dan ia telah pun dirasakan pada suku keempat tahun ini dan akan berterusan ke 2023,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, momentum pertumbuhan positif ini akan berterusan pada suku keempat tetapi kemungkinan besar bukan dua digit dan hanya sekitar lima peratus.
“Ini kerana nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat 2021 agak tinggi, yang mencatatkan peningkatan lebih 10 peratus dari suku ketiga yang sama.
“Bagi keseluruhan tahun ini pula diunjurkan berkembang pada lapan peratus, jauh lebih tinggi daripada unjuran Bank Negara Malaysia (BNM). Pertumbuhan ini dipacu oleh dua sektor utama iaitu perkhidmatan dan pembuatan yang menyaksikan kebanyakan sub-sektor mencatatkan pertumbuhan dua digit setiap suku tahun.
“Harga komoditi yang tinggi pada awal hingga pertengahan tahun ini juga membantu pertumbuhan KDNK yang memberansangkan,” jelasnya.
Sementara itu, AmBank Research berkata, pertumbuhan ekonomi pada suku keempat tahun ini dan seterusnya dijangka lebih mencabar dengan pertumbuhan antara enam hingga lapan peratus, walaupun selepas suku ketiga merekodkan angka yang kukuh pada 14.2 peratus.
Dalam Sorotan Ekonominya, firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan tersebut disokong terutamanya oleh penggunaan swasta, perdagangan luar dan kesan asas yang rendah.
Ketua Ekonomi dan Penyelidikan Kumpulannya, Anthony Dass berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada keseluruhan tahun ini unjurkan pada 8.5 hingga sembilan peratus.
Menurutnya, negara sudah menyaksikan beberapa tanda tekanan daripada sektor pembuatan dan aktiviti perdagangan dijangka lebih perlahan pada masa hadapan.
Katanya, iai terutamanya disebabkan aktiviti ekonomi yang lebih perlahan dari luar, termasuk daripada rakan dagangan utama negara seperti China.
“Jumlah eksport dan import terkini semakin perlahan sejak Ogos. Tekanan harga dalam sesetengah sektor pembuatan masih meningkat, terutamanya dalam pengeluaran tekstil, produk kayu dan kayu, produk kertas dan kertas, produk farmaseutikal asas, produk mineral bukan logam, elektrik, peralatan jentera dan kenderaan bermotor.
“Ini sebahagiannya disebabkan oleh kekurangan produk utama dan mata wang yang lebih lemah.
“Ini juga bertepatan dengan nombor dalam pembuatan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang telah berada pada aliran menurun sejak Julai dan jatuh di bawah ambang 50 peringkat sejak September,” katanya. – UTUSAN










