PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Berhad (Proton) menjual sebanyak 13,013 kereta (domestik dan eksport) pada Oktober lalu, sekali gus melonjakkan jumlah jualan kepada 115,366 setakat ini.
Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 33.10 peratus, mengatasi jualan yang dicatatkan sepanjang 2021 sebanyak 114,709 unit, dan merupakan jualan terbaik Proton sejak 2014.
Menurut Proton, syarikat menduduki tempat kedua bagi jualan Oktober dalam pasaran dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 21.1 peratus, namun angka pegangan pasaran merosot sedikit kepada 19.9 peratus.
“Keseluruhan Jumlah Volum Industri (TIV) untuk Oktober dianggarkan melebihi 60,000 unit untuk bulan ketiga berturut-turut dan pasarn automotif Malaysia dalam perjalanan untuk memecah rekod jumlah jualan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi segmen SUV pula, Proton muncul jenama SUV paling laris di Malaysia tidak sampai empat tahun melancarkan SUV pertamanya pada 12 Disember 2018.
Proton X50 terus menerajui segmen tersebut dengan jualan berjumlah 33,193 unit pada tahun ini dan 3,602 unit untuk Oktober sahaja. X70 pula mencatatkan jualan sebanyak 1,391 unit bulan lalu dan secara keseluruhan sebanyak 15536 unit model itu terjual setakat ini. Ia menjadikan jualan SUV Proton berjumlah 48,729 dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Mengulas prestasi itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, pertumbuhan volum empat tahun berturut-turut Proton bersamaan dengan kemasukan jenama itu ke pasaran SUV dengan Proton X70.
“Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan walaupun terdapat pelancaran saingan baharu, model itu kekal sebagai peneraju kelas dan malah dinamakan sebagai SUV Besar Terbaik di Anugerah Pilihan Editor Carsifu 2022.
“Oleh itu, untuk meraikan ulang tahun yang ke-empat, kami menawarkan hadiah yang terdiri daripada aksesori bernilai RM1,499, kadar faedah serendah 2.52% dan banyak lagi tawaran menarik daripada pengedar kami jika pelanggan membeli Proton X70 di bulan November,” katanya.

Sementara itu, Saga terus menjadi model terlaris Proton apabila terjual sebanyak 5,262 unit Oktober lalu, menjadikan jualan keseluruhan setakat ini sebanyak 45,965 unit, peningkatan 42 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Model Persona dan Iriz turut menunjukkan peningkatan jualan masing-masing sebanyak 1,696 dan 661 unit.
“Proton Exora terus menerajui kelas MPV segmen C dan dengan 400 unit diserahkan, jumlah volum untuk tahun 2022 kini berada pada 3,508 unit,” katanya.
Proton turut merekodkan peningkatan dalam eksport kenderaannya berjumlah 4,741 unit setakat ini dengan 416 unit pada Oktober lalu. Ia merupakan prestasi eksport terbaik Proton sejak 2013 dengan Saga kekal model paling banyak dieksport berjumlah 2,106 unit diikuti X70 sebanyak 1,608 unit.
Menurut Roslan, pertumbuhan bahagian eksport Proton pada 2022 sejajar dengan hasrat syarikat untuk menembusi lebih banyak pasaran luar negara.
“Walaupun Malaysia tetap menjadi pasaran utama Syarikat untuk seketika masa akan datang, jualan eksport mempunyai lebih banyak potensi pertumbuhan yang belum diterokai, dan ini bersesuaian dengan sasaran pertumbuhan jangka panjang kami untuk menjadi jenama automotif utama di rantau ini,” tambah beliau. – UTUSAN










