FGV catat untung sebelum cukai RM1.49 bilion

FGV catat untung sebelum cukai RM1.49 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) mencatatkan peningkatan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM1.49 bilion untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2022, berbanding RM1.02 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan Kumpulan turut melonjak sebanyak 45 peratus tahun ke tahun kepada RM19.46 bilion berbanding RM13.39 bilion yang dicatatkan sebelum ini, manakala Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) meningkat 40 peratus kepada RM985 juta daripada RM703 juta.

Keuntungan Operasi FGV juga meningkat 53 peratus kepada RM1.78 untuk tempoh sembilan bulan 2022 berbanding RM1.16 bilion yang dilaporkan dalam tempoh kewangan sama sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Nazrul Mansor berkata, FGV kekal di landasan untuk mengakhiri tahun kewangan ini dengan kukuh.

“Prestasi operasi yang lebih baik untuk suku ketiga disokong oleh margin produk sawit yang lebih tinggi berikutan peningkatan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) yang direalisasikan serta pencapaian daya pengeluaran dan muatan tan yang dipacu oleh sektor logistik,” katanya dalam kenyataan.

Keputusan kewangan diimbangi kerugian yang direkodkan sektor gula menerusi anak syarikat FGV, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) disebabkan kos pengeluaran yang lebih tinggi sebanyak 24 peratus.

Secara keseluruhan, untuk suku ketiga berakhir 30 September 2022 , FGV mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM6.18 bilion disebabkan harga purata MSM yang diperolehi lebih tinggi pada suku semasa, berbanding RM5.31 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Meskipun merekodkan hasil yang lebih tinggi, FGV mencatatkan PBT yang lebih rendah iaitu sebanyak RM385 juta berbanding RM508 juta pada suku sama 2021 berikutan kerugian yang ditanggung dalam Sektor Gula dan penurunan volum jualan MSM dan Minyak Sawit Diproses (PPO) di sektor perladangan.

Sementara itu, operasi huluan FGV mencatat peningkatan hasil sebanyak RM3.71 bilion berbanding RM3.24 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengeluaran MSM meningkat sebanyak 8.0 peratus kepada 801,000 MT, didorong peningkatan jumlah buah tandan segar (BTS) sebanyak 10 peratus kepada 3.93 juta MT berbanding 3.56 juta MT pada suku yang sama.

Secara keseluruhan, 1.05 juta MT (27 peratus) dihasilkan secara dalaman, 1.74 juta MT (44 peratus) diperoleh daripada peneroka FELDA, dan 1.14 juta MT (29 peratus) diterima daripada pihak ketiga.

Sementara itu, keuntungan operasi bagi operasi hiliran kumpulan meningkat kepada RM30 juta dipacu oleh volum jualan yang lebih tinggi untuk produk pembungkusan dan oleokimia di bawah anak-anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn. Bhd. dan Twin Rivers Technologies (TRT).

Nazrul berkata, visi kumpulan adalah untuk menjadi pemain industri makanan global dan perniagaan tani yang lestari.

“Kami sedang mengukuhkan kedudukan dalam pasaran makanan Malaysia, bukan sahaja bagi barangan makanan penting seperti minyak masak dan gula, tetapi juga memperkukuh kehadiran kami dalam segmen produk makanan pengguna nilai tambah yang lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN