PETALING JAYA: Pengasas dan bekas Pengarah Urusan Kumpulan Silver Bird, Datuk Jackson Tan Han Kook dan bekas Pengarah Eksekutifnya, Derec Ching Siew Cheong dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda sebanyak RM500,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kelmarin, selepas disabitkan atas kesalahan membenarkan pemberian pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.
Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Jelasnya, Hakim Siti Aminah Ghazali turut memerintah kedua-dua tertuduh dipenjara selama 50 bulan jika gagal membayar denda dikenakan.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut setelah memberi pertimbangan terhadap kesemua pertuduhan yang lain, berikutan permohonan Tan dan Ching untuk tawaran pengakuan di bawah Seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam kenyataan.
SC berkata, Tan dan Ching telah dituduh pada 11 September 2013 masing-masing dengan tujuh dan lapan pertuduhan kerana memberi pernyataan palsu yang terkandung dalam keputusan kewangan suku tahunan Silver Bird yang belum diaudit
untuk tempoh kewangan berakhir 31 Oktober 2010 dan 31 Oktober 2011 kepada bursa saham.
Menurut laporan The Edge, Silver Bird yang menghasilkan roti “High 5” dan kek “Silverbird”, telah dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 2014.
Ia telah menghentikan operasi pada Jun 2016 berikutan perintah mahkamah untuk mengosongkan premis berkenaan.
Pada Februari 2013, syarikat itu mengumumkan kerugian mengejutkan sebanyak RM112 juta, yang kemudiannya didedahkan berjumlah RM297 juta.
Selepas penyelewengan kewangan terbongkar, Silver Bird telah disenaraikan ke dalam syarikat berstatus PN17, dan Kumpulan itu mengeluarkan Tan dan Ching daripada lembaga pengarahnya sejurus selepas itu. – UTUSAN










