PETALING JAYA: Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE), anak syarikat milik penuh Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) memperoleh kontrak daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) untuk menjalankan Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan, Pemasangan dan Perkhidmatan Pentauliahan (EPCIC) untuk projek Kasawari Carbon Capture & Storage (CCS), di luar pantai Sarawak.
MMHE telah dianugerahkan Kontrak Reka Bentuk Kejuruteraan Front-End (FEED) dalam mod pertandingan FEED untuk projek tersebut, awal tahun ini.
Kontrak EPCIC termasuk pembinaan bahagian atas 14,000 tan metrik (MT), jaket 15,000 MT lapan kaki platform Kasawari CCS dan jambatan yang menghubungkan ke Platform Pemprosesan Pusat Kasawari (CPP).
Menurut kenyataan MHB, setelah siap, platform itu akan dipasang pada kedalaman air 108 meter (m) dalam kawasan SK316, kira-kira 200 kilometer (km) di luar pesisir Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.
“Projek Kasawari CCS kelak akan menjadi projek CCS luar pesisir terbesar di dunia mengikut volum penangkapan karbon dioksida (CO2), dengan keupayaan untuk menangkap sehingga 3.3 juta tan CO2 setahun.
“Kira-kira 71 hingga 76 juta tan CO2 daripada projek Kasawari CCS akan disuntik semula ke medan M1 melalui saluran paip yang terletak kira-kira 138 km dari platform.
“Selain itu, kemudahan ini juga akan menjadi platform luar pesisir terbesar di dunia yang direka untuk menangkap dan menyimpan karbon,” katanya.
Projek Kasawari CCS yang merupakan projek CCS pertama di Malaysia itu dijadualkan bermula pada penghujung 2025 dan akan menjadi sebahagian daripada keseluruhan Projek Pembangunan Gas Kasawari.
Kontrak tersebut adalah kontrak perikatan antara MMHE dan PCSB untuk melaksanakan skop EPCIC Kasawari CCS. – UTUSAN










