PETALING JAYA: AirAsia X (AAX) mengaktifkan semula penerbangannya ke Melbourne, Australia yang merupakan salah satu destinasi utamanya selepas pandemik.
Perkhidmatan baharu itu menandakan pemulihan permintaan untuk perjalanan udara jarak sederhana tambang rendah, seterusnya merangsang sektor pelancongan Australia dan Malaysia.
Dalam pra-pandemik, AAX menyumbang 45 peratus bahagian pasaran untuk penerbangan antara Australia dan Malaysia dan mengendalikan sehingga 92 penerbangan seminggu ke empat destinasi.
Selepas menyambung semula perkhidmatan ke Sydney baru-baru ini dan dengan penyambungan semula perkhidmatan ke Melbourne dan Perth pada minggu ini, AAX akan mengendalikan 24 penerbangan mingguan ke tiga destinasi utama di Australia.
AAX juga merancang untuk memulihkan lebih 50 peratus kekerapan penerbangannya berbanding pra-pandemik ke Australia menjelang suku ketiga 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail berkata, Australia merupakan destinasi pertama AAX yang dilancarkan pada November 2007 dan sentiasa menjadi antara destinasi utama selain terbukti mempunyai permintaan kukuh untuk perjalanan dua hala.
“Baru-baru ini kami telah menyambung semula perkhidmatan ke Sydney yang terbukti popular. Justeru, kami berbesar hati untuk kembali ke Melbourne yang merupakan salah satu pasaran utama kami, selain dua lagi perkhidmatan yang akan bermula pada minggu ini iaitu Perth dan Auckland berikutan permintaan tinggi.
“Sehingga Mac 2020, kami telah membawa lebih 12.7 juta tetamu antara Malaysia dan Australia dengan hampir empat juta tetamu ke Melbourne sahaja. Kami juga berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan pihak lapangan terbang dan pemain industri untuk memberi menyumbang ketibaan penumpang di Lapangan Terbang Melbourne setiap bulan,” katanya.
Jelas beliau, dengan pengumuman itu, pengembara di seluruh Asia akan mendapat lebih nilai dan pilihan dengan akses mudah dan berpatutan ke Australia.
“Pada masa yang sama, pengembara dari Australia akan mempunyai akses kepada lebih 130 destinasi AirAsia ke destinasi popular dalam rangkaian penerbangan jarak dekat dan jarak sederhana kami seperti Thailand, Vietnam, India, Indonesia, Korea, Jepun dan banyak lagi.
“Komitmen kami kepada para tetamu di Asia Pasifik tidak berakhir di sini, kerana kami turut meraikan penyambungan semula perkhidmatan dari Sydney ke Auckland dan Kuala Lumpur ke Perth bermula minggu ini.
“Kami juga telah melihat tempahan masa hadapan yang memberangsangkan untuk semua laluan ke dan dari Australia serta New Zealand selain meneruskan fokus untuk memanfaatkan momentum positif ini dengan menambah lebih banyak perkhidmatan dan kekerapan sejajar dengan permintaan pada masa hadapan,” ujarnya.
Sempena meraikan perkhidmatan baharu ke Melbourne dan pada Auckland, AAX menawarkan tambang termasuk semua bernilai hebat bermula hari ini sehingga 6 November 2022 untuk tempoh perjalanan antara 1 Januari dan 28 Oktober 2023. – UTUSAN










