TNB jamin bekalan elektrik voltan tinggi LRT laluan Shah Alam - Utusan Malaysia

TNB jamin bekalan elektrik voltan tinggi LRT laluan Shah Alam

MEGAT Jalaluddin Megat Hassan (paling kiri) dan Dr. Prodyut Dutt (paling kanan) semasa majlis penyerahan dokumen Perjanjian Pembekalan Elektrik (ESA), disaksikan Baharin Din, (dua, kiri) dan Mohd. Azharuddin Mat Sah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi membekalkan bekalan elektrik bervoltan tinggi kepada tiga Stesen Suis Utama di sepanjang Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam yang dahulunya dikenali sebagai LRT3.

Kerjasama tersebut akan bermula pada penghujung tahun ini dan LRT Laluan Shah Alam dijangka beroperasi serta dibuka kepada orang ramai menjelang 2025.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, sebagai rakan kongsi dalam pembekalan tenaga elektrik, TNB bersedia memberi kerjasama kepada Prasarana dalam membangunkan lagi industri pengangkutan negara, terutamanya dalam menyediakan bekalan elektrik yang berdaya harap serta stabil kepada bekalan rel sepanjang LRT Laluan Shah Alam.

“TNB telah beriltizam untuk menyegerakan Peralihan Tenaga yang merangkumi usaha meningkatkan nilai perusahaan portfolio penjanaan, memperluas fokus pasaran untuk mengembangkan portfolio Tenaga Boleh Baharu (TBB), pelaburan untuk Grid Masa Depan dan pembangunan ekosistem Kenderaan Elektrik (EV),” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin berkata, TNB telah memulakan kerja asas projek ini di ketiga-tiga tapak kerja stesen-stesen suis utama dengan bekalan elektrik bervoltan tinggi 132kV. 

“Bersama-sama dengan Prasarana yang menerajui transformasi sistem dan perkhidmatan pengangkutan awam Malaysia, kami berpotensi mempercepatkan agenda kelestarian negara dan memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sambil memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, kepakaran dan kemampuan pihak TNB dalam menyalurkan bekalan elektrik yang berdaya harap adalah amat kritikal dalam memastikan Prasarana mampu melaksanakan mandat pengangkutan awam organisasi tersebut.

“Projek LRT Laluan Shah Alam merupakan sebahagian daripada Pelan Bersepadu Pengangkutan Awam untuk Greater Klang Valley dan Prasarana diberi mandat untuk memberi kemudahan dan mengetengah serta menerapkan sistem pengangkutan awam darat yang terancang, selamat, responsif, efisien dan mampan,” jelasnya.

Jajaran LRT Laluan Shah Alam yang menjangkau 37.8 kilometer (km) menyasarkan jaringan perhubungan untuk dua juta penduduk di Koridor Barat Lembah Klang, iaitu dari Bandar Utama ke Johan Setia, Klang melalui tiga kawasan Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandar Raya Petaling Jaya, Majlis Bandar Raya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Klang.

Sejumlah 20 buah stesen termasuk dua stesen integrasi MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang di Bandar Utama serta stesen integrasi LRT Kelana Jaya di Stesen Glenmarie 2 merangkumi jajaran ini. 

Selain itu, projek ini berjaya mewujudkan peluang pekerjaan secara sepenuh masa kepada lebih 5,900 orang pekerja.

Sejak 1996, TNB telah menyediakan bekalan elektrik bervoltan tinggi kepada Prasarana untuk LRT 1 (Laluan Ampang dan Sri Petaling) sepanjang 45km dengan bekalan 29.32MW, LRT2 atau Laluan Kelana Jaya (46.4km, 58.35MW) sejak 1997 dan Monorel (8.6km, 7.16MW) sejak 2001.

Sejak 2016 pula, TNB menyediakan bekalan elektrik kepada MRT1 atau Laluan Kajang sepanjang 51km untuk bekalan elektrik 80.6MW, manakala MRT2 atau Laluan Putrajaya (57.7 km, 36.81MW) sejak 2019. 

TNB akan menyediakan bekalan kepada LRT Laluan Shah Alam dari Bandar Utama-Johan Setia (37km, 52.06MW) menjelang tahun ini.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN