TNB, Gamuda Land bina stesen elektron

TNB, Gamuda Land bina stesen elektron

LAKARAN artis stesen elektron yang bakal dibangunkan oleh TNB dan Gamuda Land.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menandatangani perjanjian persefahaman dengan Gamuda Land, cabang pembangunan hartanah Gamuda Berhad untuk membina dua stesen elektron untuk mengecas kenderaan elektrik di projek pembangunan hartanah Gamuda Land di Selangor.

Menurut kenyataan bersamanya, MoU tersebut melibatkan pembangunan Stesen Elektron pertama di negara ini di Gamuda Cove di Selatan Lembah Klang dan Gamuda Gardens di Utara Lembah Klang untuk komuniti di projek tersebut serta pelawat taman tema air di Gamuda Cove.

Katanya, kedua-dua stesen tersebut yang dijadual siap menjelang 2025 akan mempercepatkan pembangunan ekosistem dan infrastruktur untuk kenderaan elektrik (EV) di negara ini, sekali gus menyokong visi kemampanan kedua-dua syarikat.

Tambahnya, stesen elektron masa depan akan dikuasakan oleh panel solar atas bumbung yang akan membantu mengimbangi elektrik daripada grid dan menyokong persekitaran yang lebih hijau.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Strategi dan Teroka TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Chu Wai Lune di Galeri Pengalaman Gamuda Cove.

MAJLIS pertukaran dokumen kerjasama antara Megat Jalaluddin Hassan (dua, kanan) dan Chu Wai Lune.

Megat Jalaluddin berkata, MoU itu akan membuka jalan kepada TNB dan Gamuda Land untuk bekerjasama ke arah meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia dan mencapai aspirasi pelepasan karbon sifar bersih Malaysia menjelang 2050.

“Pada masa yang sama, stesen itu akan membolehkan kedua-dua syarikat meningkatkan usaha berterusan mereka untuk mencapai sasaran Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) mereka sambil memastikan pertumbuhan perniagaan yang berterusan.

“Menyokong percambahan kenderaan elektrik adalah sebahagian daripada tonggak peralihan tenaga TNB. Ia sememangnya langkah yang tepat dan ke hadapan dalam merealisasikan aspirasi untuk menyediakan pelan induk yang mampan, menampilkan reka bentuk responsif iklim, pengangkutan bersepadu dan pembinaan tenaga super rendah dengan ciri pintar.

“Semua inisiatif ini memerlukan pelaburan yang besar. Oleh itu, kerjasama seperti yang dilakukan oleh TNB dan Gamuda Land hari ini adalah selaras dengan menyokong wawasan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Stesen pengecas elektrik ini akan serasi dengan semua buatan kenderaan terdiri daripada hibrid, hibrid plug-in dan EV sepenuhnya serta termasuk pengecas pantas AC dan DC.

Sama seperti stesen minyak konvensional, stesen elektron akan merangkumi pelbagai perkhidmatan seperti kedai makanan dan minuman, kedai serbaneka dan banyak lagi untuk memberi perkhidmatan kepada pemandu yang sedang menunggu kenderaan mereka dicaj. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN