PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapat kelulusan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi melaksanakan program Pelanjutan Hayat Hidro enam stesen di Stesen-Stesen Janakuasa (SSJ) Sungai Perak dengan pelaburan RM5.8 bilion mulai tahun ini.
Kelulusan tersebut diperoleh melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco).
TNB berkata, SSJ Sungai Perak dengan kapasiti 650.75 megawatt (MW) itu akan menyokong aspirasi Tenaga Boleh Baharu (TBB) negara dan memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, 18 unit penjanaan di enam stesen berkenaan akan dinaik taraf kepada teknologi terkini dan operasinya dijangka mampu mencatat Pendapatan Sebelum Faedah dan Cukai (EBIT) sebanyak RM200 juta setahun.
“Ini adalah antara inisiatif memperkasakan lagi langkah Peralihan Tenaga TNB dengan sasaran meningkatkan kapasiti TBB kami kepada 8,300MW pada 2025, sejajar aspirasi pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Inisiatif di SSJ Sungai Perak ini terus mengekalkan penguasaan TNB dalam sektor penjanaan hidro dengan kapasiti kumulatif 2,661MW dalam menyokong negara neutral karbon dan Dasar Tenaga Negara yang diumumkan kerajaan baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kecuali Stesen Janakuasa (SJ) Pergau, enam stesen dalam skim hidroelektrik yang sama di SSJ Sungai Perak iaitu SJ Temengor, SJ Bersia, SJ Kenering, SJ Chenderoh dan SJ Sungai Piah (Upper & Lower), bakal beroperasi di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) baharu selama 40 tahun, dengan unit pertama dijangka beroperasi secara komersial mulai 2025.
“Ketika ini, keseluruhan skim merangkumi enam stesen tersebut yang setiap satu dibina di antara tahun 1926 hingga 1986 dan SJ Pergau yang dibina pada 1991, menjana 1,249.1MW.
“Ini bersamaan 2,755GWh purata keluaran tenaga tahunan dan menyumbang 49 peratus sumber tenaga hidro di Semenanjung Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN










