Tingkat daya tarikan PIPC

Tingkat daya tarikan PIPC

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemberian status dan insentif khas untuk industri kimia serta petroki­mia dalam Bajet 2023, akan me­ningkatkan daya tarikan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) sebagai destinasi pelaburan industri hiliran minyak, gas dan petrokimia.

Pemangku Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC), Izhar Hifnie Ismail berkata, pe­rancangan pembangunan PIPC seluas 22,904 ekar (9,269 hektar) selama 25 tahun bermula 2013 hingga 2037 dan terbahagi kepada empat fasa.

Dalam fasa pertama (2013-2019) katanya, PIPC menyaksikan pembangunan dua projek pemangkin dalam aktiviti berkaitan minyak dan gas hiliran serta petrokimia.

Jelasnya, ia termasuk pembangunan Pengerang Deepwater Terminals (PDT), pusat penyimpanan minyak dan produk petroleum dengan kapasiti sehingga lima juta meter padu, termasuk jeti air dalam, yang dimajukan oleh DIALOG Group Berhad dengan pelaburan bernilai RM14.71 bilion.

“Selain itu, Petronas membangunkan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) mengandu­ngi loji penapisan minyak, loji petrokimia dan kemudahan-kemudahan sokongan dengan pelaburan bernilai AS$27 bilion.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor juga membangunkan prasarana penting untuk industri dan keperluan masyarakat di PIPC bernilai lebih RM3 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Izhar, pembangunan PIPC kini sedang melalui Fasa 2 (2020-2026) dan telah menerima pelaburan komited baharu hampir RM10 bilion, termasuk pembangunan Pengerang Industrial Park (PIP) oleh Johor Corporation.

Tambahnya, JPDC sedang memudahcara dan membantu tiga pihak yang telah menyatakan minat melabur di PIPC dalam menjalankan kajian kebolehlaksanaan membuat pelaburan di PIPC.

“Kami berharap status khas ini akan menjadi faktor utama bagi mereka memilih PIPC dan Pengerang sebagai destinasi pelaburan,” katanya.

Izhar turut mengalu-alukan peruntukan untuk pembinaan lorong memotong di Lebuhraya Senai-Desaru yang menghubungkan Pengerang dengan kawasan-kawasan ekonomi utama termasuk bandar raya Johor Bahru, Iskandar Puteri, pelabuhan dan kawasan perindustrian di Pasir Gudang, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

“Lorong memotong tersebut akan membantu melancarkan aliran trafik yang semakin meningkat di Lebuhraya Senai-Desaru susulan kepada pembangunan dan operasi PIPC dan kawasan peranginan di Desaru,” tambah beliau.

JPDC adalah anak syarikat Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), kedua-duanya agensi Kerajaan Persekutuan melapor kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Mandat JPDC termasuk menjadi agensi teraju untuk perancangan dan penyelarasan kerja-kerja pembangunan industri hiliran minyak dan gas di PIPC, mempromosi dan memudahcara pelaburan minyak dan gas hiliran serta petrokimia masuk ke PIPC.

Selain itu, pembangunan kelompok tenaga kerja berkemahiran yang sedia untuk diambil bekerja oleh industri serta memudahcara penglibatan tenaga kerja dan usahawan atau perniagaan tempatan dalam pembangunan ekonomi di PIPC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN