PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) perlu melaksanakan pelan perniagaan baharu bagi memastikan terus mampan supaya terus dapat menawarkan bantuan kewangan kepada jemaah haji terutamanya dengan peningkatan kos ekoran mata wang ringgit yang lemah berbanding riyal.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi juga Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, TH tidak terkecuali menerima tempias pergerakan ekonomi yang agak perlahan yang melanda Malaysia dan dunia ketika ini.
Katanya, agensi itu perlu menyemak semula perniagaan anak-anak syarikatnya sama ada mengembang atau menguncup serta memastikan mereka yang dilantik menerajuinya adalah berkelayakan.
“Kalau boleh, Pengerusi TH jangan daripada lantikan politik, supaya TH dapat bergerak secara bebas.
“Dari segi subsidi, saya rasa masih lagi diperlukan terutamanya untuk golongan B40 kerana mereka adalah golongan yang betul-betul menyimpan untuk pergi menunaikan haji.
“Mungkin untuk golongan T20, subsidi tersebut boleh dihapuskan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpendapat, TH berdepan dengan cabaran yang besar bagi sentiasa memastikan pendapatan yang cukup untuk kekal mampan, memberi dividen yang sepatutnya iaitu antara empat hingga lima peratus kepada pendeposit serta terus memberi bantuan haji.
Katanya, kos pembayaran untuk golongan bukan B40 mungkin boleh dinaikkan untuk memastikan TH kekal mampan dan dapat terus memberikan dividen yang sepatutnya kepada semua pendeposit.
“Untuk golongan B40, saya rasa kos ketika ini boleh dikekalkan. Kita harus faham bahawa untuk mengerjakan haji ia menjadi wajib kepada mereka yang mampu, jadi sebaiknya kumpul duit sehingga cukup pergi mengerjakan haji.
“Jangan kerana mahu memberi bantuan kepada sesetengah orang, akan memberi kesan kepada dividen pendeposit TH yang lain,” ujarnya.
TH pada 7 Oktober lalu memaklumkan, akan meneruskan bantuan kewangan haji bersasar walaupun kos haji dijangka terus meningkat sekitar RM31,000 seorang, pada tahun hadapan, berbanding RM28,000 tahun ini.
Dianggarkan terdapat 3.8 juta pendeposit TH telah mendaftar dan menunggu giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
TH sebelum ini mengumumkan pendapatan sebanyak RM1.47 bilion dalam separuh pertama 2022 dengan jumlah deposit berjumlah RM88.09 bilion, iaitu paras tertinggi sejak 59 tahun penubuhannya.
Bagaimanapun, setelah mengambil kira perbelanjaan termasuk peruntukan zakat, TH mencatat keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM1.03 bilion bagi tempoh dilaporkan, berbanding RM1.22 bilion dalam tempoh yang sama 2021.
Penurunan keuntungan setelah mengambil kira perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji yang diberikan kepada jemaah haji bagi musim 1443H/2022M sebanyak RM28,632 bagi setiap jemaah, berbanding anggaran awal sebanyak RM25,540.
Perbelanjaan TH meningkat sebanyak RM134.42 juta pada separuh 2022 kepada RM437.30 juta pada Jun 2022 kerana Bantuan Kewangan Haji kepada jemaah haji 1443H/2022M yang terus ditanggung oleh agensi itu.
TH menjangkakan jumlah perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji akan meningkat kepada RM185.7 juta apabila musim haji 1443H/2022M tamat dalam suku ketiga nanti. – UTUSAN










