TH komited memudahkan urusan ibadah jemaah haji

TH komited memudahkan urusan ibadah jemaah haji

IDRIS Ahmad bersama sebahagian daripada 12 wakil organisasi yang terlibat dalam program 'Sabahat Korporat TH' yang menerima penghargaan selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat Tabung Haji Musim Haji 1443H di Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) kekal komited untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada semua jemaah haji Malaysia pada setiap musim haji.

TH telah menerima sumbangan bernilai RM1.8 juta daripada 12 organisasi melalui program “Sahabat Korporat TH” yang turut membantu melancarkan urusan ibadah jemaah haji Malaysia.

Sumbangan tersebut adalah dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas jemaah haji seperti beg beroda, beg sandang, tikar jemaah, tikar sejadah, bahan bacaan seperti buku-buku doa, peralatan kesihatan dan kelengkapan harian

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, meskipun operasi haji pada musim 1443H ini berbeza dari tahun sebelumnya, TH telah berjaya mengurus perjalanan haji kesemua jemaah dengan baik.

“Pada tahun ini saya sempat meninjau persediaan haji TH di Kompleks Haji Sepang dan kemudiannya melihat sendiri bagaimana para petugas TH mengurus dan menyantuni para jemaah haji yang pelbagai karenah ketika di Tanah Suci, terutama ketika Masya’ir.

“Saya kagum dengan komitmen dan kerja keras yang ditunjukkan, justeru syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada semua petugas yang telah menabur khidmat bakti sepanjang operasi haji 1443H/2022M samada di Tanah Air atau di Tanah Suci,” katanya dalam ucapan pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Dan Penghargaan Kepada Sahabat Korporat TH Musim Haji 1443H di sini, hari ini.

Kejayaan operasi haji Musim 1443H itu adalah hasil daripada kerjasama padu dan sokongan penuh diberikan oleh pelbagai pihak terutamanya agensi kerajaan dan swasta.

Bagi persiapan musim haji tahun hadapan, TH sedang membuat penilaian dan penelitian semua aspek operasi yang merangkumi keperluan jemaah haji sebelum berlepas, kebajikan semasa di Tanah Suci sehinggalah mereka kembali ke tanah air.

Idris juga berkata, pihaknya sentiasa memantau dan bekerjasama dengan TH untuk sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan kos yang berpatutan bagi para jemaah haji Malaysia.

TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang paling memerlukan walaupun kos haji Muasassah dijangka terus meningkat sekitar RM31,000 seorang pada tahun hadapan, berbanding RM28,632 tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN