PETALING JAYA: CTOS Digital Berhad, melalui anak syarikatnya, CTOS IDS Sdn. Bhd., telah melancarkan perkhidmatan baharu dengan kerjasama OTOFACTS yang membolehkan pengguna menyemak sejarah kenderaan terpakai yang hendak dibeli.
Platform dalam talian Semakan Kenderaan CTOS baharu akan menawarkan solusi sehenti yang memberikan akses mudah kepada laporan komprehensif mengenai kenderaan bermotor terpakai atau dibaik pulih yang didaftarkan di Malaysia, Jepun dan United Kingdom (UK).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Berhad, Eric Hamburger berkata, cabaran semasa membeli kereta terpakai ialah pembeli lazimnya mempunyai sedikit atau tiada akses untuk mengesahkan maklumat latar belakang kereta itu.
“Dengan menyediakan akses mudah dan segera kepada data yang luas melalui Semakan Kenderaan CTOS, kami boleh membantu mengurangkan penipuan dan meningkatkan ketelusan dalam penjualan serta pembelian kenderaan terpakai di Malaysia, sekali gus memberikan pengguna ketenangan minda dengan laporan kereta terpakai yang boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan.
Kerjasama itu akan digerakkan dengan kerjasama OTOFACTS, biro automotif dalam talian pertama di Malaysia dengan pangkalan data terbesar di negara ini.
OTOFACTS mempunyai akses kepada rekod automotif serta pelbagai maklumat daripada pelbagai sumber seperti firma lelong, syarikat insurans dan agensi kerajaan.
Platform semakan kenderaan CTOS membolehkan pengguna menyemak maklumat sejarah kemalangan, sejarah pemilikan kereta, panggilan balik terbuka oleh mana-mana pengilang, hak milik sisaan (untuk menyemak sama ada kereta itu pernah diisytiharkan sebagai hapus kira), rekod lelongan, sejarah pengaktifan beg udara (hanya untuk kereta Jepun), rekod servis dan penyelenggaraan serta pendaftaran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OTOFACTS, Shahir Ali berkata, satu langkah penting dalam mana-mana pembelian kereta terpakai ialah mendapatkan laporan semakan kenderaan yang boleh dipercayai.
“Ini akan membolehkan pengguna membuat keputusan termaklum berdasarkan butiran tersembunyi di sebalik kenderaan bagi menentukan nilai pasaran kereta serta memastikan penggunaan yang boleh dipercayai dan selamat selama bertahun-tahun,” katanya. – UTUSAN










