PUTRAJAYA: Sejumlah RM600 juta disediakan bagi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 menerusi program Dana Permodalan Semula PKS yang boleh dimohon bermula hari ini.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Aria Putera Ismail berkata, ia merupakan sebahagian daripada program Semarak Niaga yang diperkenalkan menerusi Bajet 2022 tahun lalu bertujuan memberi pilihan lebih luas kepada usahawan yang memerlukan suntikan modal disebabkan masalah aliran tunai akibat pandemik Covid-19.
Menurut beliau, bagi menjayakan inisiatif tersebut, SME Bank telah dipilih sebagai agensi peneraju dengan suntikan dana bernilai RM200 juta, manakala Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) masing-masing menyumbang sebanyak RM300 juta dan RM100 juta.
“Dana Permodalan Semula PKS ini tidak akan dikira sebagai liabiliti tetapi ia dikira sebagai pegangan saham syarikat.
“Program tersebut menawarkan pelaburan ekuiti sehingga RM5 juta untuk usahawan yang layak dan mereka boleh menggunakan pelaburan ini bagi keperluan modal kerja dengan tempoh bayaran balik sehingga lima tahun dengan kadar dividen keutamaan jangkaan sebanyak enam peratus setahun,” katanya menerusi sidang media selepas Majlis Pelancaran Dana Permodalan PKS di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad; Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy Abdullah dan Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim.
Mengulas lanjut, beliau berkata, program tersebut mampu memanfaatkan sehingga 600 usahawan PKS dan mereka yang ingin membuat permohonan boleh hadir ke ketiga-tiga agensi pelaksana atau pun melalui laman web yang disediakan.
Jelasnya, menerusi pelaburan Dana Permodalan Semula PKS, usahawan PKS akan dapat menstrukturkan semula keperluan kewangan perniagaan mereka selain memberi tumpuan kepada aspek penawaran produk, peningkatan perkhidmatan serta membantu mengembangkan perniagaan.
“Pelaburan ini juga tidak mempunyai kesan kepada ‘gearing level’ jika usahawan ingin memohon pembiayaan lain. Bayaran balik pelaburan pula adalah secara fleksibel dan berpotensi untuk ditukar menjadi saham syarikat,” ujarnya.
Tambahnya lagi, usahawan yang layak juga boleh mengikuti Program Ekuiti Malaysia yang akan dijalankan oleh Centre for Entreprenur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) iaitu anak syarikat SME Bank yang juga merupakan rakan pelaksana program.
Katanya, CEDAR akan menggunakan Aplikasi Kecerdasan Buatan (AI Tools) iaitu Enterprise Life Cycle Scoring Assessment (ELSA) untuk memperoleh laporan tentang kitaran hayat perniagaan usahawan yang terlibat untuk membantu merangka pelan perniagaan terkini, menetapkan sasaran perkembangan syarikat dan merancang petunjuk prestasi utama syarikat.
“Ketiga-tiga elemen ini akan menjadi panduan yang sangat penting untuk usahawan dalam menguruskan perniagaan dengan lebih teratur serta membolehkan mereka untuk memohon kemudahan pembiayaan ekuiti daripada SME Bank atau mana-mana pembiayaan dari institusi kewangan yang lain pada masa hadapan,” ujarnya. – UTUSAN










