PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) menyusut kepada AS$104.5 bilion pada 14 Oktober 2022 daripada AS$106.1 bilion, 30 September 2022.
Bank pusat itu dalam kenyataan berkata, rizab tersebut memadai untuk membiayai 5.5 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.
Komponen utama rizab antarabangsa terbabit meliputi rizab mata wang asing sebanyak AS$92.6 bilion, kedudukan Rizab Tabung Kewangan Antarbangsa (IMF) sebanyak AS$1.3 bilion, Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$5.5 bilion), emas (AS$2.1 bilion) dan aset rizab lain (AS$3 bilion).
“Aset berkenaan merangkumi emas, pertukaran mata wang asing dan rizab-rizab lain termasuk SDR sebanyak RM484.61 bilion, kertas Kerajaan Malaysia (RM12.36 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.64 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) serta aset-aset lain (RM46.57 bilion).
“Selain itu, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar berjumlah RM100 juta, rizab (RM151.78 bilion), mata wang dalam edaran (RM157.62 bilion), deposit institusi kewangan (RM168.61 bilion), deposit Kerajaan Persekutuan (RM15.16 bilion), deposit lain (RM34.49 bilion), kertas Bank Negara (RM10.01 bilion), peruntukan SDR (RM28.7 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.84 bilion),” katanya.
Sebagai perbandingan, rizab BNM pada 30 September lalu, memadai untuk membiayai 5.6 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek. – UTUSAN










