fbpx

PNB jenamakan semula resort di Port Dickson

PORT DICKSON: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjenamakan semula hotel miliknya di sini iaitu PNB Ilham Resort Port Dickson yang kini dikenali sebagai Villea Port Dickson.

Diuruskan oleh anak syarikatnya, Attana Hotels & Resorts Sdn. Bhd. (AHR) , Villea Port Dickson menyasarkan jumlah perolehan sebanyak RM3 juta pada fasa awal pembukaan tahun ini selepas ia dijenamakan semula dan dibuka kepada pengunjung bermula 1 Oktober lalu. 

Pengurus Besar Villea Port Dickson, Hasnan Ahmad Mokhtar berkata, hotel tersebut kini berwajah baharu selepas projek menaik taraf sejak 2020 telah siap sepenuhnya dengan kos sebanyak RM40 juta. 

“Kerja menaik taraf merangkumi 101 bilik tetamu, lima buah bilik mesyuarat, sebuah dewan besar (menghadap laut), lobi dan kolam renang kanak-kanak ‘Splash’. 

‘Kami berharap dengan penjenamaan semula ini dapat menampung keperluan bilik seterusnya merancakkan lagi industri pelancongan di Port Dickson,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pembukaan Villea Port Dickson, di sini baru-baru ini. 

Turut hadir, Ketua Pegawai Pelaburan, Pelaburan Swasta dan Strategik PNB, Rizal Rickman Ramli, Ketua Hartanah Kumpulan PNB, Mohamad Idros Mosin dan Ketua Pegawai Eksekutif AHR, Ron Hasni Yusoff.

AHR ialah syarikat pengurusan hospitaliti yang menguruskan semua hotel, resort dan kelab golf milik PNB.

Hasnan berkata, selain berkonsepkan penginapan keluarga dengan pemandangan laut dan alam semula jadi, tarikan hotel itu adalah Taman Eko Rimba Tanjung Tuan sebagai destinasi eko pelancongan terbaharu.

“Villea Port Dickson terletak berdekatan dengan Taman Eko Rimba Tanjung Tuan di mana kami menggalakkan pengunjung beriadah dan melakukan aktiviti mendaki,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin prestasi syarikat kembali stabil dan dapat mengunjurkan perolehan sebanyak RM3 juta pada tiga bulan pertama hotel tersebut dibuka terutama selepas sektor pelancongan kembali rancak.

“Selain itu, dengan lokasi hotel yang strategik kami menyasarkan kadar penginapan hotel sebanyak 35 peratus atau secara purata 10,000 orang sebulan melalui  penjenamaan hotel dan imej baharu yang diperkenalkan.

“Hotel ini menjadi pilihan utama keluarga pada hujung minggu malah ia turut menjadi pilihan badan korporat untuk mengadakan mesyuarat atau kursus terutama pada hari bekerja,” katanya.

Jelas Hasnan, setakat ini tempahan hotel yang diterima amat memberangsangkan dan ramai menantikan pembukaan semula Villea Port Dickson.

“Pihak hotel kini berusaha mempergiat promosi dalan talian bagi menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung boleh mendapatkan harga istimewa dengan membuat tempahan di laman web kami,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN