SINGAPURA: Rupiah Indonesia merudum dan mata wang asing dalam pasaran bonnya menuju ke pintu keluar, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa ekonomi terbesar Asia Tenggara itu akhirnya mula `retak’ selepas berbulan-bulan berdaya tahan terhadap tekanan global.
Pasaran saham Indonesia berprestasi terbaik di Asia tahun ini dan rupiah jatuh hanya 3 peratus berbanding dolar dalam tempoh enam bulan hingga akhir Ogos lalu. Berbeza dengan won Korea Selatan dan baht Thailand yang jatuh lebih daripada 10 peratus.
Bagaimanapun, September membawa perubahan lebih buruk apabila rupiah merosot 2.5 peratus, kejatuhan bulanan terbesar tahun ini dan lebih banyak berbanding mata wang di Asia.
Perkembangan itu mendorong penganalisis dan pelabur terkemuka untuk menekan loceng `amaran’ terhadap risiko, ditambah dengan rizab mata wang yang semakin berkurangan, peningkatan hutang obligasi dan aliran keluar modal asing, lapor Reuters.
“Ia ibarat kesan kejar-mengejar, atau turun naik,” kata Galvin Chia, pakar strategi pasaran baharu muncul di NatWest Markets. Beliau menyalahkan kejatuhan rupiah disebabkan faktor luaran yang tidak menentu termasuk kenaikan tanpa henti dolar.
Semasa kitaran pengetatan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada 2018, rupiah jatuh ke paras terendah dalam beberapa dekad. Semasa situasi “taper tantrum” pada 2013, mata wang tempatan itu menjunam 20 peratus.
Tetapi kenaikan harga komoditi telah menjadi penghalang (kejatuhan rupiah) tahun ini, dengan lebihan akaun semasa yang semakin meluas memberikan perlindungan terhadap aliran keluar modal.
Pemilikan asing bagi bon Indonesia, yang sedekad lalu berjumlah hampir separuh daripada pasaran, juga lebih rendah sekitar 14 peratus.
Namun, kelebihan hasil Indonesia semakin merosot apabila kadar faedah di tempat lain meningkat lebih cepat. Aliran keluar daripada pasaran bon, dengan hasil setinggi 7 peratus, mencecah AS$11 bilion (RM5.86 bilion) pada tiga suku pertama 2022, hampir dua kali ganda daripada jumlah yang direkodkan pada 2021 sebanyak AS$5.7 bilion (RM26.87 bilion).
Rizab tukaran asing Indonesia juga susut sebanyak AS$1.4 bilion (RM6.60 bilion) bulan lalu kepada AS$130.8 bilion (RM616.68 bilion), berikutan pembayaran hutang dan usaha Bank Indonesia untuk menstabilkan rupiah.
Data September juga menunjukkan lonjakan inflasi Indonesia ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, mencerminkan lonjakan harga bahan api di negara itu.
Pasaran saham bagaimanapun kekal positif kerana pelabur menjangkakan harga minyak dan sumber lain yang dieksport Indonesia akan kekal tinggi. Indeks penanda aras Jakarta, meningkat lebih 3 peratus setakat ini pada penutupan Jumaat lalu.
Bank Indonesia bulan lalu mengejutkan pasaran apabila menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas dalam usaha mengekang inflasi.
“Indonesia kekal sebagai cerita yang sangat baik dalam portfolio Asia,” kata Rajat Agarwal, pakar strategi ekuiti Asia di Societe Generale SA. – AGENSI










