Modenas Z250 – Model baharu atau hanya tukar stiker jenama?

Modenas Z250 – Model baharu atau hanya tukar stiker jenama?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INI adalah artikel yang paling sukar untuk saya karang dan selama 25 tahun saya menulis tentang hasil tunggang uji motosikal, saya rasakan inilah yang paling sukar untuk saya kete­ngahkan. Ia bukan kerana motosikal yang saya uji ini didatangkan dengan sistem kejuruteraan mekanikal yang tinggi, sehinggakan saya tidak dapat mengenal pasti tentang keberadaan jenteranya. Namun, ia kerana syarikat konglomerat milik tempatan yang menggunakan nama singkatan Motosikal dan Enjin Nasional sekali lagi bertindak menghasilkan motosikal daripada barisan production linenya, motosikal yang ternyata ‘milik orang lain’ dan hanya ditampal pelekat jenama Modenas.

Pada sekitar Julai yang lepas, Modenas telah membuat pelancaran semula jenama Kawasaki yang kini telah memiliki jumlah saham yang lebih tinggi dalam Modenas. Seperti yang umum ketahui, jenama Modenas Bajaj telah diperkenalkan tidak berapa lama dahulu sebagai satu ‘usahasama’ dengan syarikat pembuat motosikal terbesar India, Bajaj. Model-model seperti Pulsar dan Dominar, walau digembar-gemburkan bakal mengu­bah persepsi peminat motosikal tempatan tentang kualiti dan imej motosikal hasil keluaran Modenas, namun ia seperti tidak mendapat impak yang diharapkan. Terdapat sedikit peningkatan permintaan dalam pasaran ketika awal kemunculannya, namun perkhidmatan selepas jualan dikatakan banyak mengecewakan para penggunanya.

Kini Modenas memasarkan pula Ninja 250 dan Z250 setelah perolehan saham lebih besar oleh Kawasaki Motors Ltd (KMC). Faktor memasarkan Ninja dan Z250 sebagai permulaan penjualan barisan model-model Kawasaki di bawah penjenamaan semula oleh Modenas dilihat sebagai langkah untuk menarik kumpulan sasaran pengguna motosikal di peringkat bawah dan pertengahan.

 

LAMPU dwi nyala yang agak membezakannya dengan jenama lain.

RUPA FIZIKAL
Tiada langsung perubahan daripada model Z250 v2 model 2019. Ketika itu, ia dipasarkan oleh Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. dan merupakan saingan hebat motosikal seangkatan dengannya seperti Yamaha MT25 dan Honda CB250R. Pasaran motosikal 250cc begitu meriah dan terbahagi kepada dua sektor iaitu sports dan street.

Setelah menguasai pasaran sejak 2014, jentera Ninja 250 dan Z250 dinaik taraf dengan casis dan enjin baharu pada 2018 dan 2019. Z250 ternyata mampu berdiri sama tinggi de­ngan model-model dari negara matahari terbit itu.

Namun, apabila Modenas mengumumkan kehadiran Ninja dan Z250 ini, ia langsung tiada perubahan terhadap model itu, kecuali pelekat jenama ditangki dan pelindung angin hadapan. Adalah agak menghairankan apabila Modenas tidak mahu membuat sekurang-kurangnya sedikit perubahan seperti meter TFT atau lampu hadapan yang lengkap dengan DRL (Daylight Running Light) untuk memberi nafas baharu terhadap ‘orang baharu’ dari Modenas.

 

JENAMA Modenas lebih terpampang. – UTUSAN/ANUAR NORICK

PENUNGGANGAN
Sama. Langsung tiada apa yang lain dengan model Z250 ketika dipasarkan oleh KMSB dahulu. Pelana duduknya juga agak tinggi berbanding bar handel seperti versi terdahulu. Posisi ini, yang membolehkan penunggang merasakan sedikit DNA sport dalam tunggangan jentera naked atau versi jalanan ini sepatutnya mampu memberi sedikit keterujaan. Namun, oleh kerana sesi tunggang uji Z250 ini telah berulang kali saya lakukan sejak beberapa tahun dahulu, ia menjadi satu sesi yang agak membosankan.

Bagi yang mahukan angka-angka spesifikasi terhadap Mo­denas Z250 ini, ternyata anda boleh membandingkan enjin dua silinder DOHC, empat injap dengan sistem penyejukan cecair serta dipadankan de­ngan kotak gear enam kelajuan dan mendapati ia masih serupa dengan model 2019 atau 2020. Modenas Z250 ini masih berkeupayaan menjana kuasa sekitar 36.8hp pada 12,500rpm dan tork 23Nm pada 10,000rpm seperti model yang dijual pada 2018/2019 dahulu.

Z250 ini masih dibina atas kerangka Trellis dengan aspek pengendalian hadapan dipikul oleh suspensi jenis teleskopik biasa dan lengan ayun yang dibantu oleh penyerap hentakan tunggal di belakang. Brek cakera tunggal bersaiz 286mm di hadapan dan 193mm di belakang dilengkapi dengan brek ABS pada model-model khasnya sahaja. Untuk memberikan opsyen kepada pelanggan, terdapat model asas yang tidak didatangkan dengan ABS.

Jentera Z250 adalah lanjutan atau pun sisipan kedua setelah pengenalan semula Ninja 250 pada 2018 setelah berevolusi sejak 2014. Versi Z250 atau versi naked ini dikatakan lebih ba­nyak permintaan di Asia Tenggara, mungkin kerana versi sport dengan fairing penuh memungkinkan perbelanjaan yang lebih banyak sekiranya berlaku kerosakan akibat kemalangan pada badan jentera.
Mungkin atas sebab itu, Mo­denas memasarkan kedua-dua mo­del ini sekali gus untuk pasaran tempatan, yang sememangnya sudah lama tahu kewujudannya.

METER digital LCD tampak ketinggalan zaman.

KESIMPULAN
Sekiranya anda membaca sehingga ke tahap ini, anda sudah tahu kesimpulan yang bakal saya paparkan di sini. Sama ada pengendalian, prestasi enjin dan perasaan penunggangan secara keseluruhan, tiada perbezaan. Saya tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa terhadap model ini dan walaupun sedar ini adalah dua model sulung yang terhasil daripada kilang pemasangan/pembuatan di Gurun, Kedah. Namun setidak-tidaknya, Modenas patut membuat sedikit kelainan untuk model-model jelmaan semula Kawasaki ini seperti penambahan meter TFT, lampu-lampu LED lengkap dengan DRL, fork USD dan sebagainya.

Dipasarkan pada harga RM 19,500 sebelum cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran, ia boleh dikatakan sebagai pembelian yang ‘selamat’ kerana tiada teknologi atau pembaharuan baharu yang dipasarkan oleh Modenas. Pembekalan alat ganti sepatutnya tidak menjadi masalah kerana bilangan cawangan atau pusat servis Modenas yang ada di seluruh negara. Adalah diharapkan supaya latihan-latihan telah diberikan sepenuhnya pada mekanik-mekanik Modenas bagi membolehkan perkhidmatan selepas jualan yang baik. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN