SEREMBAN: Sempena sambutan Deepavali yang masih diraikan, syarikat pemaju hartanah terkemuka, Matrix Concepts Holding Bhd. (Matrix Concepts) mengadakan acara Matrix Dazzling Deepavali 2022 yang telah bermula di Bayu Sutera Galleria, Bandar Sri Sendayan, di sini sehingga 30 Oktober ini.
Ketua Pegawai Pemasaran Matrix Concepts, Lim Kok Yee berkata, menerusi acara tersebut Bayu Sutera Galleria akan dihiasi dengan dekorasi sempena pesta cahaya selain turut diadakan pelbagai aktiviti menarik.
“Hiasan mempesonakan bertemakan Deepavali bagi meraikan semangat perayaan ini dalam kalangan komuniti serta pengunjung di Bandar Sri Sendayan.
“Pelbagai hiasan dan dekorasi boleh dilihat di Bayu Sutera Galleria bermula pukul 6 petang hingga 10 malam setiap hari sehingga 30 Oktober ini.
“Diharapkan dengan perayaan pesta cahaya yang disambut ini dapat terus menyemarakkan api perpaduan dalam kalangan semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, katanya, pelbagai aktiviti lain yang menarik seperti tarian Bollywood, seni inai, dan bunga api juga diadakan pada hujung minggu ini sempena acara berkenaan. – UTUSAN










