Kos bahan binaan meningkat 20 peratus - Rehda - Utusan Malaysia

Kos bahan binaan meningkat 20 peratus – Rehda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kos bahan binaan dan menjalankan perniagaan melibatkan sektor hartanah meningkat sebanyak 20 peratus, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).

Presidennya, Datuk NK Tong berkata, kenaikan dikenal pasti melalui hasil Kaji Selidik Industri Hartanah Separuh Pertama 2022 dan Tinjauan Pasaran bagi Separuh Kedua 2022 dan Separuh Pertama 2023 Rehda.

Jelasnya, kaji selidik dan tinjauan berkenaan juga mendapati, majoriti responden terdiri daripada ahli Rehda di Semenanjung Malaysia berpandangan neutral terhadap industri hartanah bagi tempoh enam bulan terakhir tahun ini dan enam bulan pertama 2023.

“Kami berpendapat ini mempunyai kaitan dengan isu kenaikan bahan binaan yang belum ada tanda-tanda penyelesaiannya, serta kenaikan kos menjalankan perniagaan.

“Rehda melalui kajian yang sama telah mengenal pasti terdapat kenaikan sehingga 20 peratus seperti yang dilaporkan oleh responden,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pasaran hartanah masa kini masih kukuh walaupun agak perlahan dan kekal antara penyumbang ekonomi negara.

“Namun, para pemain industri terus menghadapi pelbagai isu yang boleh memberi kesan negatif ke atas pasaran di mana antaranya adalah masalah harga bahan binaan yang meningkat tinggi dan juga kekurangan pekerja.

“Dua masalah utama yang yang dikenal pasti berterusan daripada pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak awal 2020,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya percaya sekiranya kerajaan berusaha mengambil langkah-langkah membendung isu kenaikan harga bahan binaan serta kekurangan pekerja terutamanya pekerja asing, para pemaju akan mempunyai pandangan yang lebih positif terhadap pasaran hartanah negara.

“Kami amat mengharapkan kerajaan segera mengambil langkah-langkah proaktif bagi menyelesaikan masalah-masalah ini kerana kesannya bukan saja akan dirasai oleh para pemaju, tetapi juga pembeli rumah,” katanya.

Ditanya sejauh mana kesan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR)  sebanyak 0.75 mata sejak Mei lalu, NK Tong berkata, Rehda percaya peningkatan tersebut bersama dengan kenaikan kos sara hidup sedikit sebanyak memberi kesan kepada pembeli rumah dan rakyat.

Bagaimanapun beliau berkata, pembelian hartanah merupakan satu bentuk pelaburan di mana nilainya kian meningkat tahun demi tahun.

“Jadi para pembeli yang berkemampuan digalakkan untuk membeli rumah sebagai salah satu pelaburan yang selamat dan menguntungkan dalam jangka masa panjang.

“Tambahan lagi, kenaikan OPR di Malaysia selama ini adalah dalam kadar yang agak rendah, dan kekal sederhana berbanding negara-negara lain.

“Dengan ekonomi negara yang kian pulih, permintaan untuk hartanah juga dijangka meningkat, dan ini akan dapat melawan kesan kenaikan OPR,” katanya.

Tambahnya, Rehda akan terus memainkan peranannya sebagai suara utama industri dan kekal aktif dalam perbincangan-perbincangan bersama semua pemain industri terutamanya pihak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri demi kebajikan pasaran hartanah dan juga rakyat.

“Kami juga nekad untuk berterusan memberi galakan kepada ahli-ahli kami agar senantiasa menjalankan kewajiban kami untuk menyediakan rumah yang berkualiti dengan harga yang berpatutan atau mampu milik untuk semua lapisan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya