PETALING JAYA: Kerajaan sementara harus sedar batasan dan tanggungjawabnya yang sah; menghapuskan hutang adalah di luar ruang lingkup kerajaan sementara.
Demikian ditegaskan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), mengingatkan bahawa kerajaan perlu mengetahui kuasa dan tanggungjawab fungsian terhad yang dimiliki ketika ini, iaitu ketika keyakinan awam terhadap kesaksamaan kerajaan adalah sangat penting.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Dr. Tricia Yeoh berkata, panduan yang menggariskan peranan kerajaan sementara di Malaysia adalah tidak jelas.
“Kita masih tidak mempunyai satu garis panduan berasingan dan bertulis tentang apa yang perlu dipatuhi oleh kerajaan sementara, manakala Australia dan terbaharu Kanada, telah menggariskan tanggungjawab sebuah kerajaan sementara, bertajuk ‘Caretaker Conventions’,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, konvensyen itu secara umum menggariskan tanggungjawab kerajaan penyandang dalam hal berkaitan tatalaku pertama, untuk kerajaan sementara berkenaan dasar, pelantikan, lawatan antarabangsa, tempoh pilihan raya serta kerja pentadbiran, dan kedua, untuk penjawat awam dan ruang lingkup penglibatan mereka dalam aktiviti pilihan raya. Mereka juga telah menjadikan dokumen itu tersedia kepada orang ramai.
Katanya, secara ringkas, tugas utama sebuah kerajaan sementara adalah untuk mengendalikan hal ehwal pentadbiran sehingga pembentukan sebuah kerajaan baharu.
“Kerajaan sementara tidak mempunyai keistimewaan atau kuasa untuk meluluskan, menandatangani, melaksanakan sebarang perjanjian, kontrak dan/atau ikrar, sama ada pada peringkat tempatan atau antarabangsa.
“Kerajaan sementara tidak boleh meluluskan sebarang dasar utama yang akan memberi kesan kepada negara dalam jangka panjang. Hal ini termasuk membuat lantikan politik baharu atau membuat sebarang keputusan perolehan atau belanjawan utama. Tindakan yang diambil oleh kerajaan sementara harus dikawal melalui prinsip kebertanggungjawaban, kedaulatan undang-undang dan keperluan sahaja.” jelas beliau lagi.
Sebagai tambahan, kata Yeoh, semua dokumen, program dan peruntukan sedia ada yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu juga harus dilaksanakan.
Jika berlaku darurat, katanya, kerajaan sementara harus bersikap berkecuali dan adil dengan cara berunding dengan semua pihak sebelum sesuatu keputusan diambil.
“Sikap berkecuali terpakai dalam mengelak daripada memihak kepada parti tertentu, sama ada dalam kempen awam atau semasa pilihan raya. Hal ini penting kerana kerajaan sementara secara dasarnya telah melepaskan kuasa politiknya melalui pembubaran awal Parlimen dan hanya dibenarkan memerintah menurut peruntukan undang-undang,” katanya.
Tambah Yeoh, masyarakat awam harus diingatkan amalan yang melanggar undang-undang asas itu, sambil merujuk tindakan kerajaan negeri sementara Johor secara unilateral telah membuat pengumuman Dasar Agro Makanan Negeri Johor 1.0 pada Februari lalu.
Beliau turut merujuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 17 Oktober lalu yang mengumumkan persetujuannya untuk menghapuskan anggaran hutang sebanyak RM 238.8 juta peneroka Felcra sebagai satu ganjaran jika beliau dan barisan kabinetnya kembali membentuk kerajaan selepas pilihan raya.
“Hal sebegini adalah contoh yang memberikan gambaran buruk kepada kerajaan sementara semasa dan harus diberikan teguran.
“Penting untuk diambil perhatian bahawa Malaysia mempunyai pengalaman dengan peralihan kuasa yang minimum di peringkat persekutuan. Inilah sebabnya peranan kerajaan sementara amat penting dalam memastikan peralihan yang lancar kepada kerajaan baharu akan berlaku.
“Seterusnya, menerima pakai Caretaker Conventions atau Akta Pengawalseliaan Kerajaan Sementara mungkin membenarkan satu set garis panduan yang lebih jelas, ketat dan telus untuk semua kerajaan sementara masa hadapan. Hal ini untuk memastikan risiko penyalahgunaan kuasa oleh pihak yang berada di dalam kerajaan sementara dapat diminimumkan, atau mungkin lebih baik, dibendung,” katanya. – UTUSAN










