JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, kerajaan masih mengkaji mengenai kesan kemungkinan larangan eksport timah dan masih belum memutuskan bila akan berbuat demikian.
Indonesia, pengeksport bijih timah terkemuka dunia, telah menghentikan penghantaran beberapa logam lain untuk membangunkan lebih banyak sumber pemprosesan di peringkat domestik.
Negara itu kini mengeksport kira-kira 95 peratus daripada bijih timah yang dihasilkan, lapor Reuters.
Jokowi berkata, kerajaan mahu mengelak sebarang kerugian kewangan yang mungkin dihadapi oleh syarikat akibat larangan tersebut, namun menegaskan pihak berkuasa akan mengemudi industri perlombongan ke arah lebih hiliran domestik.
“Semuanya mesti masuk ke industri hiliran kerana nilai tambah itu ada,” kata Jokowi kepada pemberita, menurut video yang disiarkan, selepas lawatan ke kilang peleburan bijih timah di wilayah Bangka Belitung, hab perlombongan bijih timah negara itu.
Pada Rabu, seorang pegawai Kementerian Perlombongan Indonesia dilaporkan berkata, kerajaan sedang mengumpul data mengenai industri pemprosesan yang diperlukan oleh Indonesia untuk menyerap pengeluaran bijih timahnya sendiri, jika ia memutuskan untuk meneruskan larangan eksport mineral berkenaan.
Indonesia sebelum ini telah mengenakan larangan eksport nikel. Larangan tersebut telah menarik pelaburan besar-besaran ke dalam industri berkenaan dan Jokowi berulang kali memberitahu, beliau mahu ‘meniru’ dasar (larangan eksport) itu untuk bauksit dan timah.
Sementara itu, juruaudit Indonesia dilaporkan sedang menjalankan audit terhadap perlombongan bijih timah bagi memastikan bijih dilombong dari tapak yang betul dan selaras dengan peraturan, lapor Nikkei Asia.
Menurut laporan, isu perlombongan haram telah berleluasa selama bertahun-tahun di Bangka Belitung, kawasan pengeluar bijih timah utama negara itu. – AGENSI










