PETALING JAYA: Maxis mengumumkan pelantikan Goh Seow Eng sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa 1 Disember 2022.
Beliau akan menggantikan Gokhan Ogut yang bakal menamatkan perkhidmatannya pada 30 November ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah Maxis, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, pihak Lembaga Pengarah amat berbesar hati mengalu-alukan Seow Eng sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Maxis.
Katanya, Seow Eng membawa bersamanya pengalaman yang luas dalam industri telekomunikasi dengan rekod prestasi yang amat kukuh dalam jalur lebar mudah alih dan fiber, perniagaan talian tetap serta perkhidmatan digital, yang kesemuanya penting untuk pertumbuhan Maxis.
“Kami menantikan peluang untuk bekerjasama dengan beliau menerajui dan memacu fasa seterusnya dalam perjalanan konvergen kami.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Gokhan kerana telah menerajui Maxis sebagai Ketua Pegawai Eksekutif selama tiga setengah tahun.
“Sejak memegang jawatan tersebut, beliau telah menerajui syarikat dalam masa penuh ketidaktentuan dan cabaran pasaran, yang sebahagian besarnya telah didorong oleh pandemik Covid 19,” katanya dalam kenyataan.
Mokhzani berkata, Gokhan telah memainkan peranan penting dalam pencapaian kewangan Maxis yang berdaya tahan dan penyampaian cita-cita kepimpinan konvergen syarikat, termasuk pertumbuhan yang membanggakan dalam perniagaan fiber.
“Gokhan juga telah membantu dalam memajukan perbincangan 5G kami. Saya percaya Maxis akan terus mendapat manfaat daripada asas yang telah dibinanya,” katanya.
Sebelum ini, Seow Eng, seorang rakyat Malaysia, telah memegang jawatan sebagai President dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Advanced Info Service (AIS) di Thailand.
Beliau bertanggungjawab ke atas semua unit operasi termasuk perniagaan mudah alih teras dan menyelia pengembangannya ke pasaran jalur lebar fiber serta perniagaan perusahaan.
Menurut Maxis, sebelum AIS, antara jawatan yang pernah disandang Seow Eng termasuk Pengarah Urusan perniagaan kediaman Singtel, dan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Hiburan Tanjong plc di Malaysia.
Beliau juga pernah menjadi Ketua Pegawai Operasi (COO) bagi Perniagaan Pengguna di Astro di mana beliau telah menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan syarikat tersebut.
Seow Eng juga katanya, pernah memegang pelbagai jawatan serantau dan global Citibank di London, Kuala Lumpur, Taipei dan Tokyo. – UTUSAN










