Glomac jangka jualan lebih tinggi

Glomac jangka jualan lebih tinggi

GLOMAC berhasrat melancarkan projek-projek hartanah baharu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemaju harta­nah, Glomac Berhad yakin mampu mencapai jualan lebih baik bagi tahun kewangan semasa berakhir 30 April 2023, berban­ding RM160 juta yang dicapai tahun lalu, dipacu oleh pelancaran projek-projek baharu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor berkata, syarikat akan meningkatkan aktiviti pembangunan dengan pelancaran projek-projek baharu bernilai RM459 juta pada tahun kewangan semasa.

Katanya, suku pertama dan suku kedua yang bakal berakhir tidak lama lagi telah pun menca­tat­kan jualan kira-kira RM125 juta.

“Kami kehilangan hampir lapan bulan tahun lalu disebabkan oleh ordinan darurat dan juga pandemik. Oleh itu, pada tahun ini kami menjangkakan dapat menyaksikan jualan yang lebih baik.

“Kebanyakan projek juga akan dilancarkan pada suku ketiga dan keempat kerana kami mengambil langkah untuk melihat sama masalah buruh akan menjadi lebih baik, harga bahan binaan akan stabil dan juga kestabilan global,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-38 di Menara Glomac di sini, semalam.

Pada mesyuarat berkenaan, pemegang saham meluluskan dividen peringkat tunggal berjumlah 1.5 sen bagi setiap saham biasa untuk tahun kewangan berakhir 30 April 2022, berbanding 1.0 sen pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, FD Iskandar berkata, sektor hartanah dilihat bakal terus berdepan pelbagai isu termasuk kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), lonjakan inflasi, kekurangan tenaga buruh dan kenaikan harga bahan binaan.

Menurutnya, margin keuntungan syarikat semakin mengecil daripada 19 hingga 20 peratus kepada satu digit disebabkan kenaikan kos, namun tidak dapat menaikkan harga jualan dalam situasi ekonomi semasa.

“Ketika ini, kami telah menyaksikan harga bahan binaan dalam negara misalnya besi telah kembali stabil pada paras RM3,200 hingga RM3,300 setan berbanding RM3,800 pada awal tahun.

“Namun begitu, harga bahan binaan yang diimport dari luar negara seperti aluminium masih belum turun meskipun harga pasaran di antarabangsa menunjukkan penurunan.

“Penurunan harga binaan yang ada pun tidak sama seperti sebelum pandemik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN