Bajet 2023: Perkenal lebih banyak inisiatif beli rumah pertama

Bajet 2023: Perkenal lebih banyak inisiatif beli rumah pertama

PENINGKATAN harga hartanah yang tidak setimpal dengan purata pendapatan, dikatakan punca masih ramai rakyat Malaysia tidak memiliki kediaman sendiri. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta memperkenalkan lebih banyak inisiatif untuk membantu pembeli rumah pertama yang berdepan tekanan membeli hartanah berikutan kenaikan inflasi dan kos sara hidup.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk NK Tong berkata, kerajaan boleh membantu pembeli rumah pertama dengan memberi pengurangan cukai di atas faedah terkumpul sepanjang tempoh pembinaan rumah atau pengecualian cukai sekurang-kurangnya seba­nyak RM20,000 bagi kediaman berharga RM500,000 dan ke bawah.

“Selain itu, berikan geran berjumlah RM30,000 bagi rumah berharga RM500,000 ke bawah dan/atau meneruskan program Malaysia My Second Home (MM2H) untuk pembeli yang layak.

“Skim sewa beli (rent to own) juga wajar dipertimbangkan untuk pembeli rumah pertama. Bank-bank juga perlu digalak memperkenalkan skim Step-up Financing untuk merapatkan jurang kemampuan pembeli rumah pertama,” katanya kepada Utusan Malaysia mengenai harapan Bajet 2023 yang akan dibentangkan 7 Oktober ini.

Selain itu, Tong berharap kerajaan akan mengkaji semula atau melonggarkan syarat peserta program MM2H, di sam­ping memberikan potongan cukai pendapatan bagi pembayaran yang dibuat untuk pelepasan unit bumiputera.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, ia mungkin menyebabkan pihak-pihak ber­kuasa yang berkaitan serta syarikat-syarikat utiliti ingin memperkenalkan syarat atau keperluan baharu yang melibatkan kenaikan kos.

“Tetapi, demi kebaikan rakyat khususnya mereka yang menghadapi kesukaran membeli rumah, hasrat tersebut tidak patut diteruskan, sekurang-kurangnya buat masa ini,” katanya.

Dalam pada itu, Tong menambah, Rehda juga berharap kerajaan dapat campur tangan untuk mengurangkan kenaikan harga bahan binaan, dengan mengecuali atau mengurangkan duti tertentu sehingga harga kembali normal atau lebih ter­urus.

“Ia akan membantu industri jika kerajaan juga boleh menarik balik cukai dan levi yang dikenakan ke atas bahan import,” katanya

Selain itu, beliau juga meminta kerajaan menyemak dan mengurangkan caj-caj tidak perlu, seperti yang dikenakan oleh syarikat utiliti dan pihak berkuasa ke atas tanah yang diperuntukkan untuk kemudahan sosial dan komuniti, jalan raya, saliran serta kawasan lapang.

“Kami juga berharap caj baharu tidak akan dikenakan ke atas pemaju kerana mereka sudah pun dikehendaki membina infrastruktur yang diperlukan untuk projek pembangunan masing-masing.

“Mengurangkan kos menjalankan perniagaan, boleh membawa kepada penjimatan yang boleh disalurkan kepada pembeli rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN