RIYADH: Arab Saudi merancang untuk menerbitkan bon dan sukuk baharu dalam denominasi dolar AS sambil menawarkan pemegangnya peluang untuk memperoleh nota sedia ada sebagai pertukaran wang tunai.
Panduan harga untuk nota baharu itu adalah sekitar 135 mata asas berbanding perbendaharaan AS untuk sukuk dan 180 mata asas berbanding bon Perbendaharaan AS untuk bon konvensional, menurut pemfailan di Bursa Saham London.
Menurut Arab News, Kementerian Kewangan Arab Saudi juga telah melanjutkan tender kepada pemegang bon negara itu bernilai AS$3 bilion (RM14.16 bilion) yang matang pada 2023, nota AS$4.5 bilion (RM21.24 bilion) (matang April 2025), bon AS$2.5 bilion (RM11.8 bilion) (matang Oktober 2025) dan AS$5.5 bilion (RM25.96 bilion) (matang 2026).
Jumlah tender yang diterima akan didedahkan berikutan penetapan harga bon dan sukuk baharu. Tarikh akhir bagi pemegang bon untuk menyertai tawaran tender ialah 24 Oktober, dan keputusan diketahui keesokannya, lapor Arab News
Jelasnya, BNP Paribas, Goldman Sachs dan HSBC ialah penyelaras global dan pengumpul bersama bagi penjualan hutang itu, manakala Aljazira Capital, Citi, JPMorgan dan Standard Chartered ialah pengurus utama bersama.
Awal bulan ini, dana kekayaan negara Arab Saudi mengeluarkan bon hijau untuk mengumpul dana berjumlah AS$3 bilion.
Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi berada di tengah-tengah rancangan pembaharuan negara itu yang diterajui oleh Putera Mahkota Mohammed Salman untuk menghentikan penggantungan ekonomi kepada minyak.
Disember lalu, baginda memberitahu akan melabur kira-kira AS$40 bilion (RM188.8 bilion) dalam ekonomi tempatan tahun ini, selepas membelanjakan kira-kira AS$22 bilion (RM103.84 bilion) tahun lalu.
PIF mula meningkatkan hutang bank pada 2018 dengan kemudahan AS$11 bilion (RM51.92 bilion), diikuti pada 2019 dengan pinjaman AS$10 bilion (RM47.2 bilion) yang kemudiannya dibayar balik pada 2020.
Pada Mac tahun lalu, dana kekayaan itu mengumpul AS$15 bilion daripada 17 bank terdiri daripada institusi perbankan teras termasuk Credit Suisse, Deutsche Bank, First Abu Dhabi Bank, Goldman Sachs, Intesa Sanpaolo, Morgan Stanley, Natixis dan Societe Generale. – AGENSI










