XP Power labur RM228 juta bina kilang di Perak - Utusan Malaysia

XP Power labur RM228 juta bina kilang di Perak

Oskar Zahn (kanan) bersama Saarani Mohamad (dua kanan) menyodok tanah sebagai simbolik Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Pembangunan Fasiliti Kilang Elektrik & Elektronik XP Power Taman Perindustrian Farmaseutikal, Bandar Seri Iskandar, Perak. UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: XP Power Ltd melalui anak syarikatnya XP Power (M) Sdn Bhd melabur RM228 juta bagi membuka kilang Elektrik & Elektronik di Seri Iskandar, Perak yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua tahun 2024.

Ketua Pegawai Kewangan XP Power, Oskar Zahn berkata, projek Asia III tersebut bakal menjadi fasiliti terbesar syarikat terbabit di rantau ini  selain melengkapkan syarikat sedia ada di Vietnam, China, Amerika Syarikat  dan Jerman.

Menurut Zahn, kerjasama dan sokongan yang diterima XP Power daripada kerajaan Perak melalui anak syarikatnya InvestPerak memainkan peranan penting kepada syarikat dalam membuat keputusan bagi pembinaan kilang tersebut di Malaysia.

“Daripada 164 negara kami melihat kepada tiga negara dan akhirnya memilih Malaysia selepas melihat kepada pelbagai kriteria antaranya, lokasi, rantaian bekalan, infrastruktur, kemudahan pendidikan serta kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan kami dapat mengekalkan perniagaan di sini untuk tempoh masa panjang.

“Apabila kami pilih Malaysia, kita ada ke beberapa wilayah di Malaysia dan selepas pergi ke semua wilayah ini kami memberi tumpuan kepada Perak selepas melihat kerjasama dengan InvestPerak yang amat mengalu-alukan kami serta bersifat amat profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Fasiliti Kilang Elektrik & Elektronik XP Power di Taman Perindustrian Farmaseutikal, Bandar Seri Iskandar, di sini, semalam.

Turut hadir pada program berkenaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Zahn berkata, pembinaan kilang XP Power berkenaan merupakan pelaburan fasa pertama syarikat tersebut dalam tempoh lima tahun dalam meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi menampung permintaan pelanggan yang bertambah merentasi wilayah.

“Keseluruhan pelaburan ini (RM228 juta) adalah untuk tapak ini sahaja melibatkan modal, pembelian tapak, pembinaan kilang dan menyediakan peralatan bagi fasa pertama ini yang mana bakal menyediakan sebanyak 1,200 peluang pekerjaan,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai fasa kedua pelaburan, Zahn berkata, XP Power akan melihat kepada permintaan serta kapasiti terlebih dahulu selepas kilangnya siap beroperasi sepenuhnya kelak.

“Kami menjangkakan untuk terus berkembang ekoran pertumbuhan pasaran kami amat pantas tetapi kami perlu memadankan kapasiti dengan permintaan dan perolehan terlebih dahulu sebelum beralih ke fasa kedua.

“Jadi untuk fasa kedua ini kami menjangkakan ia selari dengan pertumbuhan pendapatan kami akan datang tetapi kami memang menjangkakan untuk menyempurnakan fasa kedua kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya