PETALING JAYA: Top Glove Corporation Bhd. mencatat kerugian selepas cukai sebanyak RM42 juta pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 didorong oleh industri sarung tangan mengalami kesan normalisasi.
Menurut kenyataan syarikat pengeluar sarung tangan getah utama dunia itu, jualan suku tahunan menguncup sebanyak 27 peratus dari tahun ke tahun.
Prestasi kewangan Kumpulan yang rendah disebabkan industri mengharungi tempoh pelarasan dan berhadapan dengan situasi lebihan bekalan yang berterusan, timbul daripada lambakan stok pelanggan semasa pandemik.
Perkara tersebut telah menyebabkan kelembapan pesanan, mencetuskan lingkaran menurun pada harga jualan purata (ASP), ditambah sulit lagi dengan pelanggan mengamalkan sikap tunggu dan lihat sementara menjangkakan penurunan ASP selanjutnya.
Berikutan penurunan ASP, Kumpulan juga telah menurunkan nilai inventorinya kepada nilai direalisasikan bersih sebanyak RM56 juta pada suku keempat dan sebanyak RM229 juta untuk keseluruhan tahun kewangan 2022.
Pada suku yang sama, syarikat turut mencatatkan pendapatan jualan sebanyak RM990 juta.
Bagi keseluruhan tahun kewangan pula, syarikat mencatatkan pendapatan jualan sebanyak RM5.57 bilion dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM292 juta.
Pengarah Urusannya, Lim Cheong Guan berkata, Kumpulan juga menyaksikan peningkatan dalam struktur kos disebabkan gangguan rantaian bekalan global.
Katanya, peringkat domestik juga turut terkesan dengan kenaikan tarif gas asli sebanyak 60 peratus sepanjang tahun kewangan serta kenaikan 25 peratus gaji minimum Malaysia daripada RM1,200 kepada RM1,500 yang berkuat kuasa pada Mei lalu.
Jelasnya, kos yang semakin meningkat dan Kumpulan tidak dapat mengalih kepada pelanggan memandangkan keadaan lebihan bekalan secara berterusan telah memberi impak kepada keuntungannya.
“Industri sarung tangan telah menghadapi tekanan yang kuat sejak tahun lepas. Keadaan lebihan bekalan sementara dan permintaan yang rendah telah memesongkan mekanisme
permintaan/pembekalan dan prestasi suku keempat Kumpalan.
“Prestasi suku keempat tahun kewangan 2022 Kumpulan tidak mencerminkan potensi sebenar perniagaan kami dan sektor ini, namun saya melihat kedua-dua aspek ini kekal positif dalam jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, syarikat telah meraih keuntungan yang sangat kukuh sejak dua tahun lalu dan kini melalui tempoh normalisasi sementara permintaan dan bekalan sarung tangan sedang stabil.
“Kami perlu menerima hakikat ini sebagai sebahagian daripada perniagaan sarung tangan dan sedar bahawa kerugian pada suku ini adalah penurunan sementara. Kami yakin industri akan pulih,” ujarnya.
Bagi memastikan Top Glove berada dalam kedudukan yang baik untuk mengharungi tempoh yang mencabar ini, Cheong Guan berkata, tumpuan utama adalah kecekapan operasi dan rasionalisasi kos menerusi langkah mitigasi pantas termasuk menangguhkan semua perbelanjaan modal bagi 2023, memandangkan tahap penggunaan yang lebih rendah.
“Kami juga telah memulakan penyelarasan kemudahan, dengan menumpukan kepada penambahbaikan fasiliti bekalan bahan dalamannya. Tambahan pula, Top Glove terus bekerjasama dengan pembekalnya untuk memastikan perolehan yang lebih kos efektif.
“Seiring dengan itu, usaha akan ditujukan ke arah untuk mendapat semula jualan ke Amerika Syarikat (AS), mempromosikan produk yang lebih cekap kos, sambil membangunkan produk yang bernilai dan mengembangkan rangkaian produk hijaunya,” jelasnya. – UTUSAN










