Singapura, Indonesia bukan pesaing, rakan strategik - Onn Hafiz

Singapura, Indonesia bukan pesaing, tetapi rakan strategik – Onn Hafiz

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor tidak melihat Singapura dan Indonesia sebagai pesaing mahupun pencabar dalam usaha mengukuhkan sektor ekonomi negeri khususnya dalam tempoh mencabar pasca pandemik Covid-19 dan inflasi dunia.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebaliknya menegaskan, kedua-dua negara jiran itu sebagai rakan strategik yang saling melengkapi dalam membangunkan Johor sebagai sebuah kuasa ekonomi baharu di rantau ini.

Menurutnya, kekuatan ekonomi dan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri adalah asas bagi kemajuan sesebuah negeri.

“Ekonomi Johor tidak dibandingkan dengan Kuala Lumpur, Melaka atau Negeri Sembilan, sebaliknya kita dibandingkan dengan Singapura yang merupakan sebuah negara maju di persada antarabangsa.

“Namun, saya enggan melihat mereka sebagai pesaing, sebaliknya ambil pendekatan melihat Singapura dan Indonesia sebagai rakan strategik bagi pertumbuhan ekonomi negeri. Situasi ini boleh menjadi satu kelebihan buat kita.

“Jika kita berjaya laksanakan sesuatu dasar dengan baik, maka kita boleh ‘optimize the situation’, sekali gus boleh mendapat limpahan ekonomi yang baik untuk Johor dan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, Johor kini berada pada landasan terbaik untuk mencapai hasrat menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.

“Semasa pandemik Covid-19 lalu, Johor Bahru seperti bandar hantu, 20 peratus daripada industri pelancongan tempatan tutup. Namun, sejurus sahaja sempadan antarabangsa dibuka semula April lalu, Johor Bahru kembali hidup dan ekonomi kembali pulih dengan sektor pelancongan antara yang mendapat manfaat.

“Sudah tentu sektor pelancongan merupakan antara fokus kami, selain daripada sekuriti makanan, perkhidmatan, pembuatan, petrokimia dan pusat data. Itu antara sektor ekonomi yang menjadi tumpuan kita ketika ini,” katanya.

Tambah Onn Hafiz, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Johor berjaya merekodkan pelaburan terkumpul berjumlah RM60.9 bilion sepanjang 2021, tertinggi dalam Malaysia.

“Jumlah yang direkodkan itu adalah separuh daripada jumlah pelaburan direkodkan Malaysia bagi tahun tersebut. Syukur alhamdulillah, saya bukan dabik dada, cuma hendak masyarakat tahu Johor boleh capai sasaran tinggi yang ditetapkan, Insya-Allah.

“Kita dianugerahkan Tuhan dengan lokasi strategik. Johor satu-satunya negeri yang bersebelahan dengan negara maju, yang bersempadan dengan Laut China Selatan dan Selat Melaka.

“Kita juga kaya dengan modal insan seramai empat juta penduduk, keindahan alam semula jadi, pantai, pulau serta infrastruktur bertaraf antarabangsa, iaitu tiga pelabuhan dan sebuah lapangan terbang.

“Jadi, Johor mempunyai asas cukup kuat yang telah ditinggalkan oleh pemimpin terdahulu termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad. Mereka telah lakukan tugas dengan sangat baik untuk membina asas yang diperlukan. Apa yang saya perlu lakukan ketika ini adalah untuk melaksanakan pelbagai dasar yang telah dirancang untuk membangunkan Johor dan Alhamdulillah, ‘we are on the right track’,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×