Ringgit terendah sejak 1998

Ringgit terendah sejak 1998

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit susut ke paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998 berban­ding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pembukaan dagangan semalam, melepasi paras 4.5600 disebabkan harga minyak yang lebih rendah, ditambah dengan pengukuhan dolar AS.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.5640/5680 berbanding dolar AS daripada 4.5585/5595 pada penutup kelmarin, sebelum ditutup pada 4.5535.

Bagaimanapun, pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berpendapat, situasi ini tidak perlu dibimbangkan kerana ia adalah senario yang berlaku di seluruh dunia dan bukan hanya membabitkan Malaysia.

Ujarnya, kebanyakan mata wang dunia termasuk pound sterling, yen dan won turun mengalami kejatuhan malah lebih teruk berbanding prestasi semasa ringgit.

“Kerajaan juga tidak perlu mengambil langkah menambat ringgit seperti pada krisis ekonomi 1997 kerana situasinya berbeza. Pada ketika itu, hanya mata wang ringgit sahaja yang jatuh seterusnya memaksa kerajaan menambat ringgit namun keadaan sekarang adalah berbeza.

“Kita tidak boleh menambat ringgit kerana dolar AS adalah mata wang yang sedang dimanipulasi dan meningkat di­sebabkan peningkatan kadar faedah. Jadi, kita tidak perlu gunakan strategi itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menegaskan, strategi mengekalkan mata wang terapung adalah yang terbaik buat masa ini kerana keadaan ekonomi negara masih di tahap yang baik.

“Kita masih ada lebihan dagangan di mana eksport lebih besar daripada import. Jika kita menambat ringgit, kita tidak akan dapat kelebihan perdagangan dalam nilai mata wang.

“Keadaan sekarang menyebabkan saham kita dilihat lebih rendah berbanding nilai sebenar (undervalue). Keadaan ini turut memberi kesan positif kerana boleh menarik pelaburan jangka panjang untuk datang melabur di negara kita. Ini juga akan meningkatkan pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” ujarnya.

Barjoyai berkata, sudah tentu penurunan nilai mata wang ini memberi banyak masalah kepada ekonomi negara kerana negara mengimport lebih 80 peratus keperluan, dan ini akan mengakibatkan peningkatan kos sara hidup.

“Justeru, kita boleh mengubah dengan meminimumkan kebergantungan kepada barangan import dan laksanakan strategi keselamatan makanan. Kerajaan juga perlu menggalakkan rakyat melancong di dalam negara kerana penawaran mata wang tempatan yang meningkat akan menyumbang kepada penyusutan nilai ringgit.

“Selain itu, pekerja asing juga perlu disiplin supaya mereka tidak menghantar wang balik ke negara mereka kerana ia turut menyebabkan aliran keluar ringgit,” katanya.

Dalam pada itu, Bursa Malaysia meneruskan kejatuhan untuk hari ketiga minggu ini apabila susut 13.92 mata untuk ditutup pada 1,447.18.

Kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 529 berbanding 296, manakala 440 kaunter lagi tidak berubdah dan 1,125 kaunter tidak diniagakan.

Kebimbangan kemungkinan Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah telah menyebabkan pasaran global jatuh. Turut terkesan ialah pasaran minyak mentah dan emas yang jatuh ke paras terendah dalam tempoh lebih dua tahun, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×