Ramssol, VCI Global meterai perjanjian langganan saham - Utusan Malaysia

Ramssol, VCI Global meterai perjanjian langganan saham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ramssol Group Berhad (Ramssol) mengumumkan telah memeterai perjanjian langganan saham (SSA) dengan VCI Global Limited (VCI Global).

Di bawah perjanjian itu, Ramssol bersetuju untuk melanggan 303,030 saham biasa baharu VCI Global (saham langganan) yang mewakili 0.89 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat melibatkan pertimbangan tunai berjumlah RM4 juta.

VCI Global terlibat terutamanya dalam perundingan teknologi, menyediakan perundingan perniagaan dan teknologi, pelaburan dan perkhidmatan berkaitan di pelbagai negara termasuk Malaysia, Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Sejak penubuhannya, VCI Global telah membina hubungan yang kukuh dan bermakna dengan institusi kewangan dan pelabur institusi di seluruh dunia dengan portfolio membantu syarikat dan organisasi dalam mengembangkan perniagaan mereka.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol, Datuk Seri Clement Tan Chee Seng berkata, mereka telah membina kerjasama strategik untuk menawarkan penyelesaian teknologi termaju kepada pelanggan.

“Kami berbesar hati untuk memuktamadkan perjanjian in dengan VCI Global sebagai sebahagian daripada perjalanan kami untuk membuka lebih banyak potensi Ramssol dalam industri.

“Kerjasama itu akan membantu kami mengembangkan penawaran produk dan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan kami di pasaran sedia ada.

“Selanjutnya, VCI Global juga terlibat dalam penyediaan perundingan IT dan perniagaan pembangunan perisian yang selaras dengan strategi kami untuk membentuk kerjasama sinergi dan strategik dengan VCI Global.

“Oleh itu, kerjasama berharga ini bukan sahaja melengkapkan perniagaan ICT semasa Ramssol, tetapi juga menunjukkan komitmen kami sebagai salah satu pakar teknologi terkemuka di rantau in untuk memajukan orang ramai melalui teknologi.

“Kami percaya kerjasama ini akan memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan dan pembangunan masa depan Ramssol,” katanya dalam kenyataan.

Saham langganan dijangka sip pada penghujung September 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN