Pendapatan suku pertama Glomac meningkat 127 peratus

Pendapatan suku pertama Glomac meningkat 127 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendapatan Glomac Berhad pada suku pertama tahun kewangan berakhir 30 April 2023 (S1 TK2023), meningkat sebanyak 127 peratus kepada RM65.5 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai syarikat turut meningkat sebanyak 108 peratus kepada RM7.9 juta daripada RM3.8 juta tempoh sama tahun kewangan 2022.

Prestasi yang lebih baik itu didorong terutamanya oleh penyambungan semula aktiviti pembinaan seiring dengan pelonggaran sekatan COVID-19 di negara ini.

“Menyumbang kepada pendapatan suku dilaporkan termasuk fasa pembinaan yang berterusan di Saujana Perdana, Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences,” katanya dalam kenyataan.

Setakat 31 Julai 2022, Kumpulan mempunyai imbangan kewangan yang kukuh dengan deposit tunai lebih tinggi berjumlah RM223.8 juta, berbanding RM215.4 juta pada April 2022.

Syarikat turut merekodkan pengeran bersih yang selesa pada 0.22 kali berbanding dana pemegang saham sebanyak RM1,163.4 juta pada akhir Julai 2022. Aset bersih setiap syer pula berjumlah RM1.50.

Bagi tempoh dilaporkan, Glomac turut merekodkan jualan baharu lebih tinggi berjumlah RM52 juta, berbanding RM30 juta suku pertama tahun kewangan 2022.

Jelas Glomac, prestasi jualan yang lebih baik dipacu oleh pengambilan penuh pejabat kedainya di Lakeside Residences, Puchong serta permintaan kukuh terhadap projek perbandaran yang sedang dijalankan di Saujana Perdana dan Saujana Utama 5.

“Jualan belum dibil sebanyak RM512 juta pada 31 Julai 2022 menawarkan keterlihatan pendapatan untuk Kumpulan. Glomac berhasrat untuk memacu pendapatan melalui kemajuan pembinaan yang mantap pada projek berterusannya, dan berjaya melaksanakan pelancaran baharu pada masa akan datang.

“Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan asas mengenai inflasi, kekurangan buruh, peningkatan kadar faedah dan kos material yang boleh menjejaskan sektor hartanah.

“Jangka panjang prospek kekal utuh, disokong oleh kunci kira-kira yang sihat dan projek pembangunan masa hadapan yang kukuh, sebahagian besarnya terletak secara strategik di kawasan Lembah Klang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×