OPR: BDB kekal harga hartanah

OPR: BDB kekal harga hartanah

MOHD. ISKANDAR DZULKARNAIN RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bina Darulaman Berhad (BDB) mengekalkan harga hartanahnya sekurang-kurangnya dalam masa enam bulan akan datang walaupun Kadar Dasar Semalaman (OPR) telah dinaikkan sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Mohd. Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, strategi syarikat adalah untuk mengoptimumkan kos dengan melakukan langkah lindung nilai dan membuat pesanan barangan lebih awal bagi mengurangkan sebarang tekanan kenaikan harga.

Katanya, secara keseluruhan kumpulan memberi fokus terhadap pembangunan melibatkan M40 dan ke bawah.

“Profil pembeli kami kebanyakan adalah terdiri daripada kakitangan kerajaan yang melibatkan risiko yang lebih rendah.

“Secara keseluruhannya, sudah tentu akan ada kesan tetapi dalam tempoh enam bulan dari sekarang, kami tidak akan menaikkan harga hartanah,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman prestasi suku kedua tahun kewangan 2022 syarikat di sini, semalam.

Mengulas Bajet 2023, Mohd. Iskandar berkata, pihaknya mengharapkan pembentangan Bajet 2023 akan memberi sedikit kelonggaran kepada sektor hartanah, seperti menyediakan subsidi dan insentif untuk menyokong industri, terutaman pemaju yang menawarkan kediaman mampu milik.

Antara kediaman mampu milik yang ditawarkan BDB ialah Perbandaran Darulaman Legenda di Sungai Petani, Kedah dengan kerjasama LPB Development Sdn. Bhd. melibatkan nilai pembangunan kasar RM593 juta yang menawarkan kediaman berharga antara RM150,000 hingga RM280,000.

Menurut beliau, sektor hartanah akan terus menjadi penyumbang utama kepada perolehan Kumpulan, dengan segmen hiburan termasuk padang golf dan taman tema, terus merekodkan pemulihan memberangsangkan pasca pandemik.

Tambahnya, nilai pembangunan kasar (GDV) semasa Kumpulan kini pada RM1 bilion dan BDB masih memiliki bank tanah berkeluasan 809 hektar di Kedah.

Dalam pada itu, Mohd. Iskandar berkata, pihaknya sedang mengintai peluang untuk memasuki tiga segmen perniagaan baharu iaitu pertanian, tenaga baharu dan telekomunikasi.

“Ia masih di peringkat awal dan kami dalam proses kajian usaha wajar bagi ketiga-tiga segmen ini, yang diharapkan dapat menawarkan nilai tambah kepada perniagaan sedia ada.

“Misalnya, dalam projek tenaga baharu, kami terlebih dahulu akan memasang panel solar di aset BDB sedia ada yang bukan sekadar menambah baik elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Kumpulan, malah menambah baik kepakaran dalam bidang ini sebelum menentukan langkah seterusnya,” jelasnya.

BDB mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.13 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.0 juta pada suku sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×