Matrix lancar metaverse pertama di Malaysia

Matrix lancar metaverse pertama di Malaysia

SUASANA di Matrix Metaverse yang dilancarkan oleh Matrix Concepts di Bandar Sri Sendayan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pemaju perumahan, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) melancarkan platform hartanah metaverse pertama di Malaysia.

Dianggap sebagai platform interaktif paling maju oleh pemaju hartanah negara, Matrix Concepts terus melonjakkan penglibatan inovasi dan teknologi digital dalam pendekatan pemasarannya.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Lim Kok Yee berkata, Matrix Metaverse adalah alam semesta realiti maya di mana peserta boleh berinteraksi secara dalam talian dan dalam masa nyata.

Ujarnya, ciri unik platform itu adalah peserta boleh mencipta ‘avatar’ mereka sendiri dan berbual secara lisan dengan individu lain dalam metaverse menggunakan mikrofon peranti dan
kamera video.

“Semuanya boleh dilakukan serta-merta dalam masa nyata. Kandungannya sangat kaya dengan poster produk, video dan kiosk yang diletakkan secara strategik serta pelan lantai dan skala-model dengan pelan induk Bandar Sri Sendayan.

“Ia lebih daripada sekadar jelajah unit pameran 360 darjah kerana pengalamannya adalah sama seperti melawat galeri jualan atau mana-mana bilik pameran secara langsung kerana avatar boleh teleport ke lokasi yang dikehendaki sambil berkomunikasi dan bercakap dengan jurujual atau kakitangan jualan di metaverse,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan, pelaburan Matrix Concepts untuk menyediakan platform tersebut adalah perlu kerana syarikat menyusun strategi untuk memenuhi matlamat jangka pendek dan sederhananya dengan pelancaran dan promosi produk masa depan.

“Kumpulan juga menjangkakan pertumbuhan untuk meluaskan jangkauan pasaran secara global, sekiranya Matrix Concepts memutuskan untuk melanjutkan kehadirannya secara agresif.

“Potensi besar Matrix Metaverse adalah dalam alam digitalnya sendiri sebagai platform mensimulasikan kewujudan alternatif yang selari dengan realiti sebenar dan ini sudah menjadi nilai tambah yang bakal menarik Gen Z dan Gen Alpha,” ujarnya.

Selain itu, terdapat rancangan pengembangan masa depan untuk menggabungkan dan meningkatkan pengalaman dengan aktiviti hiburan dan gaya hidup seperti konsert dalam talian, permainan, ceramah hartanah dan pengetahuan, penampilan istimewa oleh personaliti dan artis terkenal, acara dan pertunjukan perayaan.

Direka bentuk sebagai taman fantasi dengan dua peringkat besar, avatar boleh bermain, meneroka malah berbual dan duduk dengan tenang dalam persekitaran yang mengasyikkan dengan had masa selama dua jam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN