PETALING JAYA: Malaysia Techlympics 2022 kini dipertandingkan di peringkat zon untuk mencari peserta atau Techlympians yang bakal mara ke peringkat seterusnya bagi merebut hadiah-hadiah bernilai sehingga RM500,000.
Malaysia Techlympics merupakan inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memastikan lebih ramai Keluarga Malaysia khususnya golongan pelajar dan belia, menjadikan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebagai pilihan kerjaya masa hadapan, seterusnya mengaplikasi pengetahuan tersebut dalam kehidupan harian.
Pertandingan di peringkat Zon Utara telah berakhir kelmarin yang ditutup oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Dr. K. Nagulendran, mewakili Menteri, Datuk Seri Adham Baba.
Dalam ucapannya, Nagulendran berkata, Malaysian Techlympics penting kerana mampu meningkatkan lagi daya saing dan daya tahan negara melalui penyertaan inklusif dalam pertumbuhan ekonomi baharu, penerima gunaan teknologi termaju, membina bakat changemaker serta menyokong transformasi Malaysia sebagai negara berinovatif berasaskan teknologi tinggi.
“Melihat kepada semangat yang ditunjukkan oleh para Techlympians, MOSTI yakin bahawa Malaysia mampu melahirkan generasi yang celik sains teknologi dan inovasi (STI) dan para inovator muda yang berkebolehan untuk menghasilkan solusi, aplikasi dan produk berteknologi untuk masyarakat dan kelestarian negara,” katanya.
Malaysia Techlympics 2022 dibahagikan kepada enam (6) zon dan sehingga kini, seramai 920,000 Keluarga Malaysia berusia antara tujuh hingga 30 tahun telah mendaftar untuk menyertai pelbagai pertandingan dan sesi perkongsian STI yang diadakan sejak April hingga November 2022.
Bertemakan ‘Berhubung, Bersaing, Berjaya’, Malaysia Techlympic dirangka supaya bersifat inklusif agar lebih ramai golongan sasar mendapat peluang untuk turut terlibat menghasilkan produk inovasi menggunakan pendekatan tidak formal, sekali gus merancakkan lagi aktiviti STI negara melalui experiential (pengalaman).
MOSTI telah menyusun sebanyak 25 pertandingan di bawah lima kategori utama tertumpu kepada bidang-bidang membabitkan kejuruteraan, pengkomputeran dan mikro-komputer, nano, internet benda (IoT), robotik, dron, sains, matematik, reka bentuk kreatif dan animasi serta percetakan dan pembangunan 3D.
Techlympians yang berjaya di peringkat zon akan bersaing di peringkat negeri dan seterusnya kebangsaan yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 hingga 13 November 2022. – UTUSAN










