Malaysia, Indonesia, Thailand bangunkan Rubber Cities IMT-GT

Malaysia, Indonesia, Thailand bekerjasama bangunkan Rubber Cities IMT-GT

Pemandangan dari udara tapak pembinaan Bandar Getah Kedah yang akan dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara di Padang Terap, Kedah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pengeluar utama getah asli iaitu Kementerian Perindustrian Republik Indonesia (MOI) dan Rubber Authority of Thailand (RAOT) untuk mengukuhkan komitmen bersama-sama membangunkan Rubber Cities dalam IMT-GT.

MoU itu ditandatangani pada Mesyuarat Menteri Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle/IMT-GT) ke-28 di Phuket, Thailand, hari ini.

Menurut NCIA, Perkongsian itu akan meningkatkan permintaan getah asli, menambahkan lagi inovasi rantaian nilai industri getah dan mempercepatkan pembangunan industri hiliran.

Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, sebagai Pengerusi Pasukan Pelaksana Projek IMT-GT Rubber Cities dan Rubber Industry Cooperation, NCIA akan bekerjasama rapat dengan rakan kongsibya untuk mewujudkan kerjasama serantau dalam pembuatan produk getah bagi menggalakkan pertumbuhan seimbang dalam industri, mengoptimumkan sumber-sumber untuk menangani cabaran yang saling berkait.

“Untuk tujuan ini, Kedah Rubber City (KRC), sebuah projek strategik nasional dan Taman Perindustrian Getah pertama di Malaysia berada pada kedudukan yang baik dalam ‘Rubber belt’; Malaysia-Thailand untuk melengkapkan pembangunan ekosistem getah yang komprehensif di ASEAN.

“Pembangunan taman perindustrian itu meliputi kawasan seluas 1,244 ekar dan bersedia untuk menarik pelaburan berpotensi bernilai RM10 bilion dan mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan menjelang 2025,” kata beliau dalam kenyataan.

MoU ditandatangani oleh Mohamad Haris bersama Gabenor, Pihak Berkuasa Getah Thailand, Kementerian Pertanian dan Koperasi, Nakorn Tangavirapat dan Ketua Pengarah Ketahanan Serantau dan Akses Industri Antarabangsa, Kementerian Perindustrian Indonesia, Eko S.A. Cahyanto.

Turut hadir menyaksikan pemeteraian MoU itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kewangan Thailand, Arkhom Termpittayapaisith dan Menteri Perindustrian Indonesia, Dr. Agus Gumiwang Kartasasmita.

Menurut NCIA, MoU itu bertujuan mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam industri getah, menggalakkan pertukaran amalan terbaik (best practises) dan perkongsian pengetahuan serta pengetahuan teknologi ke arah pembangunan rangkaian Rubber Cities untuk mencapai Wawasan IMT-GT 2036.

Rangkaian Rubber Cities IMT-GT (Sei MangKei Rubber City, Indonesia – Kedah Rubber City (KRC), Malaysia – Songkhla Rubber City, Thailand) berhasrat untuk meningkatkan penggunaan produk getah dan memperkukuh rantaian bekalan serantau.

“Inisiatif rentas sempadan ini akan menyumbang ke arah mencapai objektif serantau IMT-GT, antaranya adalah untuk meningkatkan perdagangan intra-dagang sebanyak 28 peratus daripada jumlah perdagangan IMT-GT (AS$ 618.1 bilion pada 2021) dan meningkatkan KDNK benar kepada AS$ 694 bilion (AS$ 437 bilion pada 2018) menjelang 2036,” jelas NCIA.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama, para pemimpin IMT-GT menekankan niat baik mereka untuk mencapai Wawasan IMT-GT 2036 yang sejajar dengan Wawasan ASEAN.

“Negara-negara anggota komited untuk memajukan pengeluaran produk pertanian utama di rantau ini melalui penyelidikan dan pembangunan, pemindahan teknologi, dan pembinaan kapasiti.

“Kami berharap penekanan yang lebih kuat akan diberikan kepada menggalakkan amalan pertanian mampan; membangun dan mempromosikan komoditi terkemuka seperti getah dan kelapa sawit; dan meningkatkan rantaian bekalan makanan rentas sempadan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×