Kenaikan kadar faedah AS jejas bursa, ringgit

Kenaikan kadar faedah AS jejas bursa, ringgit

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka akan terus melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) juga akan terjejas berikutan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed).

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, namun begitu, beliau berpendapat impaknya tidak akan berlarutan.

“Saya melihat impaknya tidak akan berlarutan untuk jangka panjang kerana ia merupakan reaksi knee-jerk selepas Fed menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas.

“Kesannya mungkin berlarutan untuk sebulan dua ini tetapi ia bergantung kepada situasi terkini yang melibatkan krisis antara Russia dan Ukraine.

“Saya menjangkakan indeks FBM KLCI akan berlegar di bawah 1,450 mata manakala ringgit berlegar di bawah RM4.60,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, sentimen global akan terus kurang menggalakkan sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat berikutan pelabur menerima kenaikan kadar faedah 75 mata asas dan isyarat Fed AS mengenai sentimen kadar faedah tinggi hingga akhir 2022.

Bagaimanapun, jelasnya, aktiviti belian saham pada harga rendah dijangka wujud dalam sektor terpilih berikutan tumpuan peniaga mungkin beralih kepada benefisiari Bajet 2023.

“Dari segi komoditi, katanya harga minyak mentah Brent mencecah di bawah paras AS$90 setong manakala harga minyak sawit mentah (MSM) berada melebihi RM3,800.

“Bagi sektor yang menjadi tumpuan, walaupun sentimen secara keseluruhannya boleh terus negatif, pelabur mungkin membeli semasa penurunan dalam sektor perbankan dalam persekitaran kitaran tinggi kadar faedah.

“Sementara itu, pasaran dijangka memihak kepada segmen tenaga boleh baharu, pembinaan dan bahan binaan sebelum pembentangan Bajet 2023. Kami turut memilih segmen berorientasikan eksport seperti industri pembungkusan,” katanya dalam nota kajian.

Pada pagi semalam, petunjuk pasaran FBM KLCI merosot 5.92 mata kepada 1,441.26 daripada 1,447.18 pada Rabu.

Setakat 4 petang semalam, penanda aras FBM KLCI terus merosot sebanyak 6.47 mata kepada 1,440.71 mata.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaun­ter untung 521 berbalas 310 manakala 363 kaunter tidak berubah dan 1,196 kaunter tidak diniagakan.

Bagi ringgit pula, pada pagi semalam, mata wang tempatan merosot kepada 4.5665/5700 berbanding dolar AS daripada 4.5520/5550 semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×