Jumlah pelancong Langkawi pulih dua tahun lagi - Utusan Malaysia

Jumlah pelancong Langkawi pulih dua tahun lagi

Nasaruddin Abdul Muttalib
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

INDUSTRI pelancongan adalah antara yang terjejas teruk semasa negara berdepan pandemik Covid-19 yang melanda pada 2020. 

Ketika itu, ramai penggiat industri terpaksa gulung tikar atau terpaksa mencari sumber pendapatan yang lain berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan bagi mengawal jangkitan virus tersebut.

Tidak terlepas daripada menerima tempias kesan daripada pandemik itu adalah pulau pelancongan terkenal iaitu Pulau Langkawi di Kedah.

Sejajar dengan peralihan ke fasa endemik, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) semakin giat memperkenalkan produk-produk baharu serta pelbagai usaha untuk menarik semula pelancong ke pulau bebas cukai tersebut.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, NUR NAZLINA NADZARI dan jurugambar, AFIQ RAZALI bersama Ketua Pegawai Eksekutif LADA, NASARUDDIN ABDUL MUTTALIB, baru-baru ini.

 

UTUSAN: APAKAH kejayaan perkembangan terkini LADA?

NASARUDDIN: Baru-baru ini LADA telah berjaya meraih anugerah The Brand Laureate Nation’s Pride Best Brands Awards 2022 bagi dalam kategori Penjenamaan PElancongan dan Destinasi anjuran The World Brands Foundation (TWBF).

Langkawi adalah destinasi pertama yang menjadi penerima anugerah tersebut. Ini menunjukkan usaha kita diiktiraf dalam mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Langkawi diperkenalkan sejak 1997 sebagai pulau bebas cukai. Kami berusaha untuk menjadikan pulau ini sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang setanding dengan destinasi lain di rantau ini.

Apakah projek pembangunan yang dalam perancangan hendak dilaksanakan?

Ada beberapa projek baharu melibatkan hotel lima bintang. Antara hotel baharu tersebut adalah Hotel Parkroyal  yang dijangka beroperasi pada Disember.   

Selain itu, terdapat juga Menara MAHA Langkawi yang dijangka siap dan beroperasi pada tahun ini dan juga Perdana Quay Eco Marine Park yang mula dibuka dan beropasi pada Mei lalu.

Projek-projek ini dijangka dapat menarik semula kedatangan pelancong dan didapati maklum balas yang diterima adalah memberangsangkan.

Sejauh mana pandemik Covid-19 memberi impak kepada Langkawi?

Ekonomi Langkawi hampir lumpuh disebabkan oleh pandemik Covid-19. Sebelum pandemik kedatangan pelancong ke Langkawi adalah 3.9 juta pada 2019 dan kemudian jatuh kepada 1.7 juta pada 2020.

Namun begitu, jumlah pelancongan yang dicatatkan pada 2021 lebih teruk iaitu turun kepada 1.09 juta disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Pada awal tahun 2020, masih ada lagi pelancong yang boleh ke Langkawi, tetapi 2021 adalah paling teruk terjejas.

Berapa anggaran kerugian sepanjang pandemik? 

Ekonomi Langkawi jatuh antara 70 hingga 80 peratus kerana pendapatan pulau ini langsung tidak dapat dijana kerana ketiadaan pelancong.

Pada 2019, penjanaan ekonomi pelancongan adalah sebanyak RM6.9 bilion berbanding hanya RM1.1 bilion pada 2021. 

Keadaan ini telah menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan, terutamanya dalam sektor perhotelan. Sekarang, industri perhotelan baru nak hidup semula.

JUMLAH pelancong ke Pulau Langkawi dijangka pulih dua tahun lagi.

Berapakah sasaran pelancong pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang dalam proses untuk pemulihan dan kembali seperti sebelum pandemik?

LADA menyasarkan untuk mencapai 2.5 juta pelancong menjelang akhir tahun ini. Dari awal tahun sehingga Julai, kami sudah mencapai kira-kira 1.4 juta pelancong iaitu lebih tinggi dari tahun lalu. Jadi sasaran tersebut mungkin boleh dicapai.

Walau bagaimanapun, untuk pulih semula dan mencapai jumlah pelancong seperti sebelum pandemik, kami jangkakan ia memerlukan masa dalam dua tahun lagi.

Selagi tidak mencapai 3.9 juta pelancong, pelbagai usaha akan dilaksanakan oleh semua pihak dan kami kita perlu kerjasama semua termasuk Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia untuk promosi Langkawi sebagai destinasi pilihan.

Pembukaan semula ekonomi dan sempadan,  setakat ini bagaimana impaknya? 

Kehadiran pelancong semakin baik. Namun begitu, kebanyakan pelancong masuk melalui Kuala Lumpur dan penerbangan antarabang terus ke Langkawi hanya ada dari Singapura sahaja.

Jika dahulu, terdapat penerbangan terus dari China dan Qatar ke Langkawi. Jadi kami berharap pada tahun depan ia akan lebih baik.

Bagaimana dengan persediaan untuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23)?

Sambutan untuk LIMA sangat memberangsangkan dan kami jangkakan pameran kali ini adalah yang terbesar akan dianjurkan.

Respon daripada pempamer amat baik dan jumlah pempamer dijangka mencapai sebanyak 600 pempamer berbanding 400 pada 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya