Jualan automotif Kumpulan UMW meningkat 41 peratus

Jualan automotif Kumpulan UMW meningkat 41 peratus

CROSS antara model Toyota yang mendapat tempat di pasaran tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan UMW mencatatkan jualan automotif sebanyak 35,130 unit pada Ogos lalu, melonjak 41 peratus daripada 24,983 unit yang didaftarkan bulan sebelumnya, sekali gus memenuhi buku pesanan tertunggak yang memberangsangkan.

Ia meliputi sebanyak 9,091 unit kenderaan UMW Toyota Motor (UMWT) iaitu tertinggi bagi tahun ini, serta syarikat bersekutu UMW, Perodua yang mencatatkan jualan sebanyak 26,039 unit.

Bagi lapan bulan pertama 2022, Kumpulan mencatatkan jualan sebanyak 233,367 unit, iaitu 63 peratus lebih tinggi daripada 143,018 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun lalu berikutan terjejas oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pihaknya berbesar hati dengan jualan menggalakkan pada Ogos dengan peningkatan dalam jumlah pengeluaran.

“Dengan jumlah pesanan yang menggalakkan disebabkan permintaan yang tinggi, kedua-dua UMWT dan Perodua akan terus meningkatkan tahap pengeluaran kenderaan.

“Kami yakin dapat mencapai sasaran jualan untuk tahun ini berikutan jumlah pesanan yang memberangsangkan, ditambah pula dengan peningkatan yang baik terhadap rantaian bekalan dan cip semikonduktor,” katanya dalam kenyataan.

UMWT terus mempromosikan tawaran yang menarik untuk setiap pembelian varian Toyota Vios dan Yaris terpilih sehingga akhir September sebagai sebahagian daripada kempen Merdeka dan Hari Malaysia.

Bagi lapan bulan pertama 2022, UMWT mencatatkan jualan sebanyak 61,639 unit, iaitu 62 peratus lebih tinggi daripada 38,085 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala Perodua mencatatkan jualan sebanyak 171,728 unit, peningkatan kukuh sebanyak 64 peratus berbanding 104,933 unit tahun lalu.

Sejak pengambilan pesanan untuk Toyota Veloz serba baharu bermula pada 24 Jun 2022, UMWT mendapat sambutan yang menggalakkan dan telah mencapai tempahan sebanyak 5,200 unit untuk model yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Jualan Perodua meningkat sebanyak 42 peratus kepada 26,039 unit pada Ogos lalu berbanding 18,346 unit yang didaftarkan pada Julai berikutan peningkatan dalam rantaian bekalan.

Perodua Bezza, Myvi dan Axia adalah antara model terlaris yang menyumbang hampir 69 peratus daripada jumlah jualannya.

Sehingga 2 September, Perodua Alza serba baharu yang dilancarkan baru-baru ini telah memperoleh lebih 51,000 tempahan, dengan catatan jualan sebanyak 7,682 unit sehingga Ogos 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN