PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC, melalui Kesatuan Pekerja-Pekerja Johor Port Berhad telah berjaya merangkul Anugerah Kesatuan Sekerja Cemerlang 2022 Sektor Swasta dan Anugerah Pemimpin Kesatuan Sekerja Contoh 2022 Sektor Swasta di Majlis Perhimpunan Keluarga Kesatuan Sekerja Se-Malaysia 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Berhad, Md Derick Basir berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan anugerah yang diterima oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Johor Port Berhad.
“Penganugerahan itu memberi inspirasi kepada Kumpulan untuk melaksanakan inisiatif dan usaha yang lebih besar ke arah pembangunan sumber manusia yang menggalakkan budaya pembelajaran dan berkepimpinan untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan pekerja kami,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pengiktirafan yang diberikan kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja Johor Port Berhad merupakan suatu pencapaian yang baik kerana ia juga mencerminkan budaya kerja MMC yang menggalakkan persekitaran kerja yang progresif di dalam syarikat-syarikat operasi dibawah MMC.
Kesatuan Pekerja-Pekerja Johor Port Berhad diwakili oleh Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Johor Port Berhad, Suratmin Alwee untuk menerima penganugerahan itu.
Selain memperkasa peranan kesatuan sekerja, majlis perhimpunan dan penganugerahan yang diadakan pada 20 September lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam ini juga bertujuan memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada penggerak kesatuan sekerja yang turut menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negara.
Sebelum ini, Kesatuan Pekerja Johor Port Berhad baru sahaja menerima Anugerah Kepimpinan Kesatuan Sekerja Negeri Johor yang disampaikan oleh Kamal Pardi, Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja Malaysia pada 11 September lalu. – UTUSAN










