Industri fintech Islam terus berkembang pesat di Malaysia

Industri fintech Islam terus berkembang pesat di Malaysia

MOHD. MUAZZAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri teknologi kewangan Islam (fintech) sedang berkembang pesat di Malaysia dengan 33 peratus daripada syarikat fintech dunia beribu pejabat di negara ini.

Presiden Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM), Mohd. Muazzam Mohamed berkata, industri tersebut telah mencapai kematangan dan akan terus berkembang pada tahun-tahun akan datang melalui pembangunan dasar, teknologi dan bakat untuk menyokong ekosistem.

“Industri itu lebih matang di sini berbanding negara lain, dengan bantuan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Selain itu, ketersediaan sumber dan bakat kita, serta hakikat Malaysia mempunyai asas yang baik di mana bakat dan perkhidmatan kewangan yang boleh dieksport juga menyumbang kepada pengembangan industri fintech di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar Forum Kewangan Islam Global 2022 di sini, hari ini.

Ujarnya, kewangan Islam adalah tulang belakang pemulihan ekonomi dan kuasa penggunaan yang semakin meningkat.

Jelasnya, sebagai salah satu kuasa perubahan yang terkemuka, adalah penting untuk kita mempertahankan nilai dan prinsip kewangan Islam ke arah mencapai kemakmuran bersama, kemampanan dan keterangkuman.

“Pembiayaan sosial juga kekal sebagai mekanisme kritikal bagi kami untuk menggalakkan kepercayaan sosial, kerjasama dan perpaduan.

“Di Malaysia, melalui inisiatif sejajar Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI), kami telah menyumbang dengan ketara kepada pemulihan sosio-ekonomi negara kita semasa pandemik Covid dengan mengagihkan kewangan sosial kepada segmen yang terdedah, khususnya B40 dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya lagi.

Menurut Moody’s, pemulihan ekonomi dalam pasaran kewangan Islam utama akan meningkatkan pertumbuhan kredit dan permintaan untuk produk patuh syariah, dan pertumbuhan aset bank Islam dijangka terus mengatasi prestasi rakan konvensional mereka.

Pemulihan ekonomi juga mendorong peningkatan kuasa penggunaan umat Islam. Pada 2021, perbelanjaan seramai 1.9 bilion penduduk Islam global berjumlah AS$2 trilion meliputi sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik, fesyen, pelancongan dan media/rekreasi.

Perbelanjaan umat Islam global diramalkan mencecah AS$2.8 trilion (RM12.82) menjelang 2025.

Malaysia kekal sebagai peneraju global dalam kewangan Islam dan menduduki tempat pertama dalam kalangan 81 negara untuk tahun kesembilan berturut-turut dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global.

Forum Kewangan Islam Global 2022 (GIFF2022) akan diadakan dari 5 hingga 6 Oktober ini di Kuala Lumpur.

Ia menghimpunkan pemimpin kewangan Islam, usahawan dan inovator di seluruh dunia untuk membincangkan perkembangan, peluang dan trend terkini yang membentuk semasa dan masa hadapan laluan kewangan Islam.

GIFF2022 dianjurkan oleh Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM), sebagai sokongan kepada Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Bertemakan ‘Take the Reins’, GIFF 7.0 menyasarkan untuk mendalami perbincangan merentas empat bidang utama iaitu pendigitalan, kemampanan, keterangkuman dan kewangan sosial, untuk memperkukuh kepimpinan global kewangan Islam.

Sementara itu, Pengerusi GIFF2022, Arsalaan Ahmed berkata, topik penggunaan mata wang kripto dan aset digital dalam sektor kewangan Islam akan menjadi antara topik yang menjadi pilihan untuk dibincangkan semasa penganjuran forum tersebut.

“Topik itu antara lain bertujuan memberikan gambaran yang lebih jelas kepada orang ramai terhadap kedudukan dan penerimaan mata wang itu di dalam sektor kewangan Islam.

“Kami akan membawakan ahli panel yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu bagi memberikan pandangan untuk orang ramai membuat penilaian sendiri.

“Perkara  ini akan dibincangkan semasa forum itu, agar orang ramai tahu kemajuan mata wang itu di dalam sektor perbankan Islam selain mereka boleh belajar secara lebih mendalam cara ia beroperasi,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN