PETALING JAYA: HSBC Amanah Malaysia Berhad (HSBC Amanah) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Halal Development Corporation (HDC) untuk bekerjasama dan menyokong HDC dalam usaha mereka memulakan inisiatif Greater Islamic Economy baharu yang merangkumi instrumen pembangunan Ekonomi Islam atau Muamalat.
HSBC Amanah melalui MoU itu juga akan terus memudahcarakan program dan kemudahan kewangan untuk membantu merangsang pertumbuhan pasaran eksport halal di Rantau Asia Pasifik.
Menurut HDC, prestasi eksport halal Malaysia pada 2021 meningkat sebanyak 19 peratus kepada RM36.3 bilion daripada RM30.5 bilion setahun sebelumnya manakala penggunaan barangan dan perkhidmatan halal global dijangka berkembang sebanyak 3.5 peratus setiap tahun untuk mencecah AS$2.4 trilion menjelang 2024, sebahagian besarnya didorong oleh populasi Islam yang berkembang pesat.
Inisiatif itu juga bertujuan menyokong Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022- 2026 (Pelan Tindakan) negara yang mana Malaysia menyasarkan untuk menjadi pintu masuk di peringkat global bagi pasaran kewangan Islam di Asia dan OIC dengan memberi tumpuan kepada kewangan berasaskan nilai melalui kepimpinan kewangan Islam.
Rangka Tindakan itu bermatlamat meneruskan dua bidang pengkhususan yang meliputi kewangan mampan dan industri halal.
Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, perangkaan itu merupakan bukti kepentingan industri halal kepada ekonomi Malaysia, walaupun menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19.
“Malah, prestasi eksport halal bagi separuh pertama tahun ini telah meningkat sebanyak 75.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu bersamaan RM30.3 bilion.
“Justeru, berdasarkan angka semasa ini, nampaknya industri halal kini pulih dengan lebih cepat daripada jangkaan.
“Malah, eksport halal untuk 2022 dijangka melepasi RM42 bilion, melebihi paras prapandemik,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, inisiatif Greater Islamic Economy yang baru dilancarkan dan usaha kolaboratif yang disejajarkan secara sinergi bersama HDC dan HSBC Amanah, merupakan kunci untuk menyediakan ahli-ahli Platform Bersepadu Halalnya (HIP) dengan kemudahan kewangan dan instrumen pembangunan yang tepat dalam usaha mereka memperluaskan kehadiran dalam pasaran eksport halal di rantau Asia Pasifik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah, Raja Amir Shah Raja Azwa berkata, menghubungkan pelanggan di peringkat antarabangsa merupakan perkara terbaik yang HSBC lakukan.
“Kekuatan terbesar kami ialah keupayaan kami sebagai penghubung aliran modal dan perdagangan antara ekonomi utama dunia.
“Kerjasama ini pastinya akan meningkatkan lagi potensi industri halal yang bernilai berbilion dolar untuk memudah carakan ekonomi Malaysia serta membantu dalam memberi nafas baharu kepada ekonomi global,” katanya. – UTUSAN










