EcoBed sasar tembusi pasaran luar - Utusan Malaysia

EcoBed sasar tembusi pasaran luar

ZA’IM Hadi Meskam menunjukkan produk EcoBed yang mesra alam sekitar, mesra haiwan dan mesra manusia. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA kebiasaannya pencinta kucing menggunakan pasir kucing atau tofu untuk menguruskan sisa haiwan kesayangan, Za’im Hadi Meskam menghasilkan produk kumbahan daripada hampas kelapa sawit, EcoBed iaitu yang pertama seumpamanya di dunia.

Pemegang ijazah dalam bidang Oleokimia itu pada awalnya terlibat dalam industri biomass daripada hampas kelapa sawit untuk dibekalkan sebagai bahan bakar menggantikan arang batu.

ZA’IM HADI MESKAM

Bagaimanapun, apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, kilang tidak boleh beroperasi dan bahan biomas itu tidak dapat diproses.

Namun, pengasas EcoBed Malaysia Sdn. Bhd. itu mendapat idea untuk menghasilkan bahan kumbahan haiwan dengan menggunakan hampas kelapa sawit yang bersifat organik.

“Sebenarnya saya tidak pernah membela kucing dan apabila banyak kucing jalanan yang datang ke rumah, ketika itu saya fikir, saya perlu selesaikan isu bau najis dengan mewujudkan tandas kucing.

“Saya tidak mahu menggunakan pasir kucing kerana ia tidak organik dan boleh mengakibatkan jangkitan kuman serta masalah-masalah kebersihan yang lain.

“Jadi, saya cuba meletakkan hampas kelapa sawit di dalam satu bekas untuk kucing-kucing itu ‘membuang’ dan apabila melihat keserasiannya dengan kucing, dari situ timbul idea untuk mengkomersialkannya,” katanya.

Menurut Za’im, menerusi kepakarannya dalam bidang kimia, dia mengkaji kebaikan hampas kelapa sawit itu yang mempunyai elemen 3M iaitu mesra alam, mesra haiwan dan mesra manusia.

Ujarnya, EcoBed juga lebih mudah diurus berbanding pasir kerana lebih terbiodegradasi dan dapat mengawal bau secara semulajadi.

“Kami dalam proses untuk memperluas penggunaan bahan kumbahan daripada hampas kelapa sawit yang dijadikan palet ini kepada rakyat Malaysia. Ia lebih sesuai untuk haiwan peliharaan berbanding pasir yang berhabuk atau palet daripada kayu yang kasar.

“Harganya juga lebih murah dan satu pek boleh digunakan sehingga tiga bulan jika mengamalkan teknik yang betul. Kami sudah mempunyai pelanggan tetap dan ada di antara mereka yang membela lebih daripada 10 ekor kucing pun mengakui produk ini memberikan penjimatan sehingga 30 peratus berbanding menggunakan bahan lain,” katanya.

ZA’IM Hadi Meskam memperoleh pelbagai pengiktirafan daripada produk EcoBed. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

EcoBed juga merupakan produk diiktiraf apabila muncul antara 25 juara yang menerima geran RM500,000 menerusi Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) 2020 anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan juara program Sukses 4.0 anjuran SME Bank.

Selain EcoBed Cat Litter, syarikat turut mengeluarkan beberapa produk lain seperti Pet Spray yang menggunakan proses mikrobiologi bagi mempercepat penyembuhan luka dan Smell Buster, juga daripada hampas kelapa sawit yang mengawal bau najis haiwan peliharaan.

Tegas beliau, industri kelapa sawit mempunyai potensi besar dan perlu ada seseorang yang memulakannya.

“Kami sasarkan untuk mengeksport produk inovasi ini ke luar negara dan sudahpun ada permintaan dari Jepun dan Bangladesh. Produk ini bukan hanya sesuai untuk kucing malah boleh juga digunakan untuk anjing, hamster, arnab dan banyak lagi.

“Untuk ke hadapan, kami mahu lebih ramai pencinta haiwan tahu mengenai kebaikan menggunakan produk organik ini yang tidak mencemarkan alam, seterusnya mampu memberikan alam sekitar yang baik kepada generasi akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya juga banyak bekerjasama dengan universiti untuk menjalankan penyelidikan produk baharu antaranya makanan kucing yang berasaskan sawit.

“Dalam bulan ini, kami akan keluarkan produk makanan kucing dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP). Istimewanya, produk makanan ini adalah berasaskan sawit dan halal,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya