PETALING JAYA: Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan Allo Technology Sdn. Bhd. (Allo), iaitu subsidiari milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka kerjasama bagi pelaksanaan dan pembangunan perkhidmatan berkaitan telekomunikasi.
Ia memberi fokus kepada aspek gentian (fiberisation), daya tahan rangkaian, kesalinghubungan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), internet kebendaan (IoT), 5G dan penyelesaian pintar.
Kerjasama itu juga akan mempercepatkan pembangunan bandar pintar dan mewujudkan masa depan yang lebih cerah buat Malaysia melalui kesalinghubungan digital oleh kedua-dua pihak, jelas syarikat itu dalam kenyataan bersama.
“Kolaborasi tersebut akan membolehkan pelancaran infrastruktur fiber yang lebih pantas daripada Allo, pakar bagi kesalinghubungan fiber optik yang terkemuka, pada masa yang sama memudahkan penggunaan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan perindustrian yang disasarkan, stesen pangkalan rangkaian dan fiber di tapak terpilih Celcom.
“Kerjasama ini juga akan membolehkan usaha daripada Allo dan Celcom untuk memacu kesalinghubungan dan pendigitalan merentas industri dengan penyelesaian teknologi dan perkhidmatan berkenaan Keselamatan Siber ICT, Cloud, Pusat Data dan Perkhidmatan Terurus serta solusi bagi bandar pintar yang menggunakan perkhidmatan IoT,” katanya.
Perjanjian MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi & Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Celcom, Afizulazha Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Allo, Ir. Mohamed Ghous Ahmad di Putrajaya, baru-baru ini.
Ia disaksikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir. Baharin Din, dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Idham Nawawi. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek.
Sementara itu, Baharin berkata, TNB melalui Allo komited sepenuhnya untuk mempergiatkan usaha yang dapat memberi manfaat kepada pemulihan ekonomi negara dan menyokong inisiatif kerajaan bagi menjadikan kehidupan lebih baik dan lebih cerah buat seluruh rakyat Malaysia.
Kata beliau, menerusi infrastruktur gentian optik milik TNB sepanjang lebih 25,000 kilometer, Allo mempunyai liputan di seluruh Semenanjung bagi menyokong pelaksanaan kesalinghubungan jalur lebar dengan pantas dan berkesan kos.
“Kami di TNB percaya bahawa sektor ekonomi digital adalah kritikal kepada masa depan kemajuan ekonomi Malaysia dengan menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Peranan kami sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara turut berkait rapat dengan pelaksanaan rangkaian kesalinghubungan yang moden, berdaya harap dan meluas seperti yang digariskan dalam MoU antara Allo dan Celcom.
“Hanya melalui ekosistem kesalinghubungan kukuh yang ditawarkan oleh Allo dan Celcom, ia mampu memacu pembentukan nilai yang menyeluruh ke segenap lapisan industri, pembentukan bandar pintar dan seterusnya keupayaan untuk mengubah landskap sosio-ekonomi negara,” katanya.
Idham pula berkata, kerjasama strategik itu akan memanfaatkan kekuatan daripada kedua-dua organisasi ke arah memacu pendigitalan merentas Rumah dan Perusahaan bagi rakyat Malaysia serta meningkatkan kecekapan operasi rangkaian yang ketara.
“Peluang bagi menyediakan kesalinghubungan fiber yang berkualiti tinggi dan mampu milik kepada kediaman di seluruh negara adalah meluas jadi melalui perkongsian ini, kedua-dua pihak boleh memainkan peranan dan memberi impak yang besar ke arah mendigitalkan masyarakat Malaysia. Kekuatan Celcom dengan rangkaian mudah alih terluas serta potensi jangkauan fiber Allo melalui infrastruktur TNB memberi kolaborasi ini dunia peluang baharu,” tambahnya. – UTUSAN










