Cagamas, ADB bekerjasama wujudkan pembiayaan mampan

Cagamas, ADB bekerjasama wujudkan pembiayaan mampan

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyaksikan majlis pertukaran dokumen kerjasama antara Cagamas dan Bank Pembangunan Asia di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cagamas Berhad menandatangani perjanjian bantuan teknikal dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) bagi mewujudkan akses kepada pembiayaan rumah mampan kepada segmen B40 dan M40.

Pengerusi Cagamas, Datuk Bakarudin Ishak berkata, kerjasama tersebut akan melibatkan penyelidikan untuk mengenal pasti cabaran dan kekangan meningkatkan gadai janji kediaman inklusif dan hijau di Malaysia.

Katanya, ia termasuk segmen rumah mampu milik dan perumahan di luar pusat bandar serta di bandar yang lebih kecil.

“Kami menyasarkan untuk menyelesaikan kajian dalam tempoh satu tahun. Maklumat daripada penemuan ini akan digunakan untuk menyusun strategi tentang cara terbaik untuk mengembangkan pasaran gadai janji hijau.

“Ini bagi memudahkan penerbitan bon atau sukuk hijau oleh Cagamas pada masa hadapan untuk menyokong segmen pasaran ini,” katanya dalam ucapan di Persidangan Pembangunan dan Pembiayaan Perumahan Hijau di Asia di sini, hari ini.

Sementara itu, Bakarudin berkata, perbadanan gadai janji nasional itu sentiasa mempromosikan pemilikan rumah yang lebih luas sambil menyumbang kepada pertumbuhan pasaran bon dan sukuk melalui terbitan mereka.

Menurutnya, sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, pihaknya juga melibatkan diri dalam menyokong inisiatif pembiayaan sosial dan hijau.

“Pertama, kami mewujudkan Rangka Kerja Bon/Sukuk Kemampanan yang sejajar dengan prinsip pasaran, piawaian dan amalan terbaik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, yang akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan pasaran kewangan sosial dan hijau Malaysia.

“Sehingga kini, Cagamas telah menerbitkan bon dan sukuk berkaitan kemampanan secara kumulatif bernilai RM1.7 bilion. Ini termasuk Bon Kemampanan ASEAN bernilai RM700 juta, Sukuk Kemampanan SRI ASEAN (RM400 juta), Bon Sosial ASEAN (RM155 juta) dan Sukuk Sosial SRI ASEAN (RM435 juta),” ujarnya.

Tambahnya, hasil daripada terbitan tersebut pada 2021 telah diperuntukkan untuk dana pembelian gadai janji yang berkaitan dengan perumahan mampu milik  sebanyak 80.91 peratus, portfolio aset untuk penjanaan pekerjaan (18.47 peratus), tenaga boleh diperbaharu (0.44 peratus) dan pengurusan air dan sisa mampan (0.17 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×