
PERCUBAAN demi percubaan untuk untuk menjana pendapatan melalui perniagaan akhirnya membuahkan hasil buat Siti Rahmah Abdol Rahim, 37, apabila jualan topi keledar yang diusahakannya sejak tahun 2015 semakin mendapat sambutan.
Siti Rahmah yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka berkata, dia menjalankan perniagaan tersebut bersama suaminya, Mohd. Hanafi Baharol, 37, bermula dengan mengumpul modal untuk membeli lima buah topi keledar tulen berjenama AGV K5 Jet.
Menurutnya, menerusi jualan dalam talian menggunaan akaun Facebook peribadi miliknya, kesemua topi keledar tersebut berjaya dijual mereka pada harga RM1,500 setiap satu.
“Melihat penerimaan yang menggalakkan dari peminat motosikal, kami kemudian menggunakan pelbagai platform media sosial dengan nama Abam 46 dan jualan paling memberangsangkan diperoleh melalui Instagram.
“Alhamdulillah, pada tahun 2018, kami dapat membuka sebuah kedai di dalam kawasan rumah rumah kami di Alor Gajah, Melaka. Walaupun hanya di kawasan kampung, ramai peminat aksesori motosikal datang dan menjadi pelanggan kami.
“Pada tahun 2020, saya mengambil langkah lebih berani dengan memohon menjadi usahawan bimbingan Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tampin dan seterusnya membuka kedai di bangunan Mara walaupun semasa itu tercetusnya pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedai Abam 46, Bazar Tampin Square, di sini baru-baru ini.

Ujar Siti Rahmah lagi, tujuannya membuka kedai di kawasan berkenaan adalah bagi mendekati pelanggan di sekitar daerah Tampin, Kuala Pilah, Rembau dan juga di Alor Gajah, Melaka.
“Kewujudan kedai ini pada mulanya tidak begitu disedari oleh pelanggan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). Bagaimanapun kami tidak patah semangat dan tetap menumpukan pada platform media sosial.
“Dari situ juga kami memperoleh pelanggan dari luar negara termasuk dari Eropah dan Asia Barat. Mereka tertarik kerana kami menjual topi keledar pelbagai jenama dan mereka juga kebanyakannya merupakan pengumpul koleksi topi keledar terutama yang jarang ditemui (rare).
“Jika kena dengan harga yang ditawarkan, kami akan menjual topi keledar tersebut. Di sini, terdapat topi keledar bernilai RM19,000 iaitu jenis Shoie Jf2 Jack berwarna biru dengan saiz XL,” katanya lagi.

Menurutnya, peminat aksesori permotoran tidak perlu gusar dengan harga berkenaan memandangkan kedainya juga turut menawarkan harga topi keledar mengikut kemampuan pembeli.
“Topi keledar di sini saya kategorikan kepada dua iaitu untuk kegunaan harian dan koleksi, ada di bawah harga RM1,000 dan juga RM1,000 ke atas. Bagi harga bawah RM1,000, kami boleh jual 20 hingga 30 topi keledar sebulan manakala, bagi harga RM1,000 ke atas, kami boleh menjual sekitar 15 buah sebulan.
“Harga topi keledar di sini ada serendah RM150. Apa yang pasti di kedai ini kami hanya menjual topi keledar yang tulen serta memenuhi standard Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM),” katanya lagi.
Dalam pada itu, Siti Rahmah berkata, dia kini berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaannya itu termasuk dengan bantuan serta bimbingan yang diperoleh dari Mara.
“Segala ilmu yang saya peroleh semasa di universiti dulu dan kursus-kursus dari pihak Mara akan saya gunakan untuk memantapkan lagi pengurusan perniagaan saya ini,” katanya. – UTUSAN










