TOKYO/BENGALURU: Toyota Motor Corp. akan melabur sehingga ¥730 bilion (AS$5.27 bilion/ RM23.6 bilion) di Jepun dan Amerika Syarikat (AS) untuk membekalkan bateri kenderaan elektrik (EV).
Syarikat kereta Jepun berkata, ia menyasarkan untuk memulakan pengeluaran bateri antara 2024 dan 2026, dengan pelaburan bertujuan menambah kapasiti pengeluaran bateri di kedua-dua negara sehingga 40 GWj.
Ia akan melabur kira-kira ¥400 bilion dalam kilang Toyota dan kilang Prime Planet Energy & Solutions, usaha sama dengan Panasonic Holdings Corp, di bandar Himeji, barat Jepun.
“Di samping itu, kira-kira AS$2.5 bilion akan dilaburkan dalam Toyota Battery Manufacturing di North Carolina,” jelasnya dalam kenyataan, semalam.
Pembuat kereta di seluruh dunia membelanjakan berbilion dolar untuk meningkatkan pengeluaran bateri dan EV dalam menghadapi peraturan alam sekitar yang lebih ketat.
Sementara itu, Reuters melaporkan, Jepun memerlukan pelaburan lebih AS$24 bilion (RM107.41 bilion) daripada sektor awam dan swasta untuk membangunkan pangkalan pembuatan bateri yang lebih kompetifi untuk kegunaan kenderaan elektrik (EV) dan storan tenaga.
Menurut Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industrinya, sekumpulan pakar telah ditugaskan untuk merangka strategi, selain menetapkan sasaran untuk mendapatkan 30,000 pekerja terlatih untuk pembuatan bateri dan rantaian bekalan menjelang 2030.
Jelasnya, strategi itu penting kepada usaha Jepun untuk menggiatkan semula industri baterinya, kerana pesaing yang disokong oleh kerajaan China dan Korea Selatan, telah mengembangkan bahagian pasaran dalam bateri lithium-ion.
“Kerajaan akan berada di barisan hadapan dan menggerakkan semua langkah untuk mencapai matlamat strategi itu, tetapi kita tidak boleh mencapai matlamat berkenaan tanpa kerjasama sektor swasta,” kata Menteri Perindustrian, Yasutoshi Nishimura pada akhir mesyuarat panel pakar itu, sambil menggesa agar kerjasama erat daripada sekator awam dan swasta.
Panel berkenaan telah menetapkan sasaran untuk pengeluaran domestik EV dan bateri simpanan tenaga pada kapasiti 150 gigawatt-jam (GWj) menjelang 2030, dan kapasiti global untuk pembuat tempatan pada 600 GWj.
Panel itu juga telah meminta untuk pengkomersilan skala penuh bagi bateri pepejal menjelang 2030.
Pengumuman itu menambah sasaran yang diumumkan April lalu dengan perekrutan dan matlamat pelaburan berjumlah ¥3.4 trilion (AS$24.55 bilion / RM109.82 bilion).
Kementerian itu berkata, sokongan kerajaan akan berkembang untuk firma Jepun yang membeli lombong mineral yang digunakan dalam bateri, dan mengukuhkan pakatan dengan negara kaya sumber seperti Australia, Afrika dan Amerika Selatan.
“(Pengeluaran) bateri adalah sasaran utama kerajaan untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050. Ia penting untuk elektrifikasi peranti kenderaan dan meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Permintaan untuk mineral seperti nikel, litium dan kobalt dijangka berkembang dengan ketara dalam dekad akan datang, kerana ia bahan penting untuk teknologi yang lebih mesra alam.
Untuk pengeluaran tahunan bateri bernilai 600 GWj pada 2030, kerajaan menjangka memerlukan kira-kira 380,000 tan litium; nikel (310,000 tan); kolbat (60,000 tan), grafit (600,000 tan) dan mangan (50,000 tan). – AGENSI










