KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memohon peruntukan sebanyak RM200 juta untuk membangunkan skim Program Usahawan Siswazah (PUSH) bagi menggalakkan golongan graduan untuk melibatkan diri dalam perniagaan.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, PUSH adalah satu daripada tujuh inisiatif baharu yang dibawa kepada kerajaan untuk mendapatkan kelulusan dalam Bajet 2023.
Katanya, kementerian melihat terdapat keperluan untuk mengadakan skim tersebut seperti Skim Pembiayaan Informal (SPIN) yang juga mendapatkan peruntukkan RM200 juta sebelum ini bagi membantu golongan B40.
“Bagaimana kita membimbing kumpulan B40, kini mungkin sudah tiba masanya untuk kita membimbing golongan siswazah yang berminat untuk menjadi usahawan.
“Perkara ini telah dimohon untuk dalam Bajet 2023 termasuk enam inisiatif lain yang saya tidak boleh beritahu lagi. Ini kerana semua belum tentu mendapat kelulusan atau pun tidak lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program
Penjana Komuniti@SME Bank 3.0 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, SME Bank mohon kerajaan dapat memberi penekanan dalam perusahaan sosial dan elemen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam Bajet 2023.
Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, perusahaan sosial adalah pasaran yang besar yang boleh diberi perhatian dan dibantu.
Katanya, pihaknya melihat potensi pasaran tersebut dan akan memberi fokus padanya untuk masa depan.
“Selain itu, penekanan terhadap elemen berkaitan ESG kepada PKS adalah penting. Buat masa ini, kesedaran dalam ESG masih rendah.
“Jadi, ia memainkan peranan yang penting bukan sahaja kepada bank tetapi juga kepada pelanggan-pelanggan kami. Jadi itulah harapan kami untuk Bajet 2023,” katanya. – UTUSAN










