SEMENYIH: Kembalikan Kempen Pemilikan Rumah (HOC), kurangkan duti import bahan binaan, jangan naikkan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dan permudahkan skim pembiayaan rumah pertama.
Itu antara permintaan pemaju hartanah kepada kerajaan dalam Bajet 2023 pada 7 Oktober ini, bagi membantu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat serta memacu industri berkenaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, pengenalan semula HOC pastinya dapat membantu lebih ramai rakyat untuk memiliki rumah.
“Saya harap kerajaan dapat kembalikan HOC walaupun saya tidak pasti sama ada kerajaan akan berbuat demikian. HOC pasti dapat membantu rakyat.
“Kerajaan sentiasa melihat kepada kesejahteraan rakyat, jadi kami berharap kerajaan melakukan yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Setia EcoHill Mall di sini, semalam.
HOC telah dilancarkan pada Januari 2019 dan berakhir 31 Disember tahun yang sama.
Akibat Covid-19, HOC telah diperkenalkan semula melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 2020 dan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.
Di bawah skim ini, pembeli akan menikmati pengecualian duti setem 100 peratus pada instrumen pindah milik untuk sebarang pembelian rumah kediaman yang bernilai sehingga RM1 juta.
Kai Wai juga memohon agar Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) tidak dinaikkan dalam Bajet 2023.
Mengulas kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus baru-baru ini, beliau berkata, jumlah tersebut masih rendah berbanding sebelum pandemik.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, kos bahan binaan seperti keluli, aluminium, simen, konkrit, kaca, tembaga dan kayu dijangka meningkat sebanyak purata 19 peratus tahun ini, sekali gus memberi cabaran kepada pemaju hartanah, selain tekanan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi.
Kata beliau, industri pembinaan juga terjejas teruk kerana kekurangan buruh asing sehingga mengalami kelewatan menyiapkan projek dan mengurangkan minat pelabur.
“Untuk memenuhi permintaan dan memulihkan momentum, industri pembinaan pada masa ini memerlukan 500,000 pekerja, terutamanya dari Indonesia dan Bangladesh.
“Kami juga berharap kerajaan akan mempercepatkan proses membawa masuk buruh asing dan mempermudah proses kelulusan pekerja asing dengan cara yang berkesan untuk membantu perniagaan tempatan berkembang,” katanya dalam kenyataan.
Hoy Kum turut meminta kerajaan memudahkan skim pembiayaan pembeli rumah kali pertama untuk hartanah bernilai sehingga RM500,000 bagi meningkatkan pemilikan rumah.
“Langkah-langkah yang berkesan untuk pembeli rumah kali pertama termasuk memberikan Geran Pembeli Rumah Kali Pertama sekali sebanyak RM30,000 untuk hartanah berharga sehingga RM500,000 dan mengaktifkan semula program Skim MyHome kepada pembeli yang layak.
“Selain itu, pembiayaan kadar tetap yang lebih rendah untuk pembeli rumah kali pertama, untuk hartanah berharga sehingga RM500,000 dan margin pembiayaan yang lebih tinggi sehingga 100 peratus untuk hartanah pertama bagi membantu kumpulan M40 dan B40 yang terjejas oleh wabak,” ujarnya.
Hoy Kum berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan mengurang dan menyeragamkan nilai minimum untuk Pemilikan Harta Asing kepada RM600,000.
“Ambang minimum semasa untuk pemilikan harta asing berbeza mengikut negeri. Jadi, kami berharap kerajaan dapat menyemak dan menyeragamkan nilai minimum kepada RM600,000 di semua negeri. Dengan kadar mata wang semasa, ia akan menarik warga asing untuk melabur dalam pelaburan hartanah,” ujarnya. – UTUSAN










